Starlink ialah perkhidmatan rangkaian internet satelit yang meliputi hampir seluruh dunia, dan boleh dinikmati oleh sesiapa pun, tidak kira dimana mereka berada. Syarikat tersebut kini mempunyai rangkaian 10 ribu satelit yang sentiasa mengorbit bumi sepanjang masa.
Starlink kini sedang menaiktaraf rangkaian satelit ini menggunakan satelit generasi kedua, dan salah satu proses penaiktarafan ini ialah untuk melupuskan satelit sedia ada yang lama dan sudah tidak lagi beroperasi untuk mengurangkan sampah sarap di ruang angkasa. Starlink melakukan proses ini dengan menggunakan saki-baki bahan api sedia ada untuk menjatuhkan diri ke ruang atmosfera bumi, dimana satelit-satelit ini akan rentung dibakar sepenuhnya tanpa sebarang sisa.

Melalui laporan yang baru dihantar kepada pihak Federal Communications Commission (FCC), Starlink telah melupuskan sebanyak 260 satelit dengan cara ini sepanjang tempoh Disember 2025 sehingga Jun 2026. Menurut laporan tersebut, sebanyak 176 satelit adalah satelit generasi pertama, manakala yang lain pula adalah sebahagian daripada kumpulan generasi kedua. Starlink juga telah melupuskan 472 satelit dengan cara yang sama dari tempoh Disember 2024 ke Mei 2025, jadi ini bukanlah sesuatu yang baru.
Setiap satelit Starlink adalah mempunyai berat sekitar 260kg ke 295kg untuk model generasi pertama dan 800kg ke 1250kg untuk model generasi kedua, jadi membawa kembali satelit-satelit yang telah tamat tempoh penggunaan mereka (5 tahun) dilihat sebagai tidak berbaloi dari segi kos membawa kembali, dan oleh kerana itu, pembakaran atmosfera dilihat sebagai cara terbaik dan selamat untuk melupuskan satelit-satelit ini.
Terdapat banyak pihak, khususnya badan-badan NGO alam sekitar telah meminta pihak FCC untuk menganalisa sekiranya pelupusan cara ini adalah selamat untuk atmosfera bumi yang melindungi kita bukan sahaja dari sinar UV yang keterlaluan, tetapi juga membekalkan oksigen untuk hidupan di permukaan bumi dan lain-lain.
Menurut beberapa laporan, pihak FCC mengatakan bahawa ujian-ujian seperti ini tidak jatuh dibawah bidang mereka, tetapi National Environmental Protection Act (NEPA). Walaupun begitu, bidang kuasa NEPA dilihat hanya untuk sempadan negara Amerika Syarikat, dan sukar untuk mereka mengikat lingkaran satelit Starlink yang mempunyai jaringan global. Starlink juga sedang dalam proses untuk menambahkan jumlah satelit mereka ke 42 ribu, berbanding dengan 10 ribu sekarang.
Sumber: FCC
