Starlink untuk kenderaan bergerak bakal ditawarkan, harga kelengkapan saja melebihi RM10,000

26 Oct 2022 • 11:00 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Buat anda yang masih tak tahu, Starlink adalah perkhidmatan capaian Internet daripada SpaceX. Berbanding menggunakan jalur lebar seperti Internet di rumah anda, Starlink menggunakan sambungan satelit. Satu berita menarik telah diumumkan SpaceX tentang Starlink iaitu mereka bakal melancarkan produk Starlink untuk kenderaan bergerak dalam bulan Disember 2022.

image is not available
Starlink RV sedia ada perlu berdiri statik di satu tempat

Produk baharu ini berada dalam kategori Starlink RV sedia ada. Bezanya Starlink RV yang sedang ditawarkan ini masih menggunakan pemancar biasa dan kenderaan perlu berada dalam keadaan pegun sewaktu digunakan. Starlink RV untuk kenderaan bergerak dipanggil Starlink RV in-motion.

Harga langganannya masih sama iaitu USD135/bulan untuk kelajuan maksimum 250Mbps bergantung kepada keadaan.

image is not available
Cakupan servis Starlink

Tapi yang membeliakkan mata adalah kelengkapan satelit yang diperlukannya. Ia bukanlah pemancar biasa yang ditawarkan pada harga USD599, tapi pemancar yang dikenali sebagai Flat High Performance yang berharga USD2,500 (~RM11,000). Menurut SpaceX, pemancar Flat High Performance ini membolehkan pelanggan menikmati capaian berkelajuan tinggi dengan paras latensi yang rendah sewaktu bergerak. Tambahan pula, kelengkapan ini direka untuk dipasang secara tetap di atas bumbung kenderaan dan bahan binaannya tahan lasak terdahap persekitaran.

Setakat ini, cakupan Starlink masih belum tiba di Malaysia. Kalau anda nak gunakan capaian Internet berteknologi satelit, anda boleh pertimbangkan ConnectMe.

Sumber: Starlink