
Kota Kinabalu: Walaupun Laporan IGC 1963 dan Perjanjian Malaysia 1963 tidak dimasukkan sepenuhnya ke dalam Akta Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan, status kepentingan dan status quasi-perlembagaan kedua-duanya diangkat banyak kali oleh mahkamah dalam beberapa kes penting.
“Status undang-undang bagi dokumen sejarah dan perjanjian antarabangsa ini – iaitu MA63 dan Laporan IGC – kini diserap dalam perlembagaan dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022,” kata Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku kanak-kanak ‘My Country and I: The Malaysia Agreement 1963’ di Perpustakaan Tanjung Aru pada Sabtu yang dihadiri penulis Datin Fazar Arif dan Mazlianie Mohd Lan.
Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) membabitkan perbincangan dalam kalangan pemimpin Malaya, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara British ketika itu mengenai asas pembentukan negara baharu.
