Stellantis Malaysia Memperkenalkan Leapmotor B10 Bermula Pada Harga RM 107,800

LocalCars
10 Dec 2025 • 4:05 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Dengan hari berbaki kurang dari sebulan sebelum tamatnya manfaat cukai kereta elektrik di Malaysia, semakin banyak kereta elektrik yang dilancarkan dengan harga yang tidak terlalu mahal. Hari ini Stellantis Malaysia menerusi jenama Leapmotor telah melancarkan kereta elektrik kedua mereka untuk pasaran tempatan iaitu Leapmotor B10.

image is not available

Leapmotor B10 merupakan SUV segmen-C, model kedua yang ditawarkan mereka selepas Leapmotor C10 yang pertama kali dijual pada tahun 2024. Dengan rekaan hampir sama seperti C10 cuma kecil, dengan ruang storan sebesar 430L yang boleh dibesarkan kepada 1700L, mempunyai ruang storan frunk hadapan sebesar 25L, dan hadir dalam dua versi iaitu B10 Life dan juga D10 Design. Perbezaan kedua-dua ini adalah pada kapasiti baterinya yang turut mempengaruhi jarak perjalanan. 

image is not available

Leapmotor B10 Life mempunyai bateri berkapasiti 56.2 kWh dengan jarak perjalanan 361 km WLTP, manakala B10 Design pula mempunyai bateri berkapasiti 67.1 kWh dengan jarak perjalanan 434km WLTP. Pengecasan pantas DC yang ditawarkan juga berbeza, iaitu 140kW untuk B10 Life dan 168 kW untuk B10 Design, membolehkan kedua-duanya dicaj dengan pantas 30-80% dalam masa kurang dari 20 minit. 

image is not available

Persamaan antara keduanya ialah ia mempunyai pengecas AC 11 kW, dan mempunyai motor elektrik yang boleh memberikan kuasa 160 kW dan 240Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8 saat. Ia mempunyai paparan skrin instrumen 8.8-inci dan juga skrin inforia bersaiz 14.6-inci yang dikuasakan sistem Leap OS 4.0 yang akan menyokong tambatan nirwayar Apple CarPlay dan Android Auto. 

image is not available

Lepmotor B10 yang lengkap dengan Swapandu tahap 2 ini ditawarkan pada harga RM 107,800 untuk versi B10 Life, manakala B10 Design pula ditawarkan pada harga RM 118,800. 200 pembeli pertama akan menerima diskaun sebanyak RM 8,000 untuk versi B10 Life, manakala RM 9,000 untuk versi B10 Design. Ia turut hadir dengan jaminan selama 6 tahun atau 150,000KM jarak perbatuan, dan jaminan bateri selama 8 tahun atau 160,000 jarak perbatuan. 

Jika anda berminat untuk mendapatkan kereta elektrik, anda masih mempunyai masa sebelum harga kereta elektrik yang diimport akan dijual pada harga lebih tinggi disebabkan cukai, pada tahun hadapan.