Stesen Keretapi Rembau hanya tinggal nama

22 Oct 2026 • 8:43 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Stesen Keretapi Rembau hanya tinggal nama

REMBAU – Stesen kereta api lama Rembau yang mempu­nyai nilai sejarah dan keunikan seni bina wajar dipulihara serta dibangunkan semula sebagai sebuah produk pelancongan ­warisan supaya tidak terus terbiar ditelan zaman.

Berdasarkan sumber sejarah yang ditemukan, Stesen Keretapi Rembau tersebut mula dibuka pada 1905 sebelum dinaik taraf pada 2013.

Tinjauan Kosmo! mendapati, beberapa pintu bangunan me­ngalami kerosakan, manakala kawasan sekitarnya mula ditumbuhi rumput liar menggambarkan keadaan premis yang sema­kin terbiar dan tidak terjaga.

Penduduk Kampung Pedas Hilir, Razali Pilus, 70, berkata, bangunan itu perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Jabatan Muzium Ma­laysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kerajaan Negeri Sembilan.

Menurutnya, usaha pemuliharaan perlu dilaksanakan de­ngan mengekalkan reka bentuk asal bangunan kerana ia bukan sahaja mempunyai nilai sejarah, malah menjadi sebahagian identiti dan warisan masyarakat setempat.

“Stesen kereta api lama Rembau ini mempunyai nilai sejarah yang cukup bermakna kepada penduduk yang pernah menggunakan perkhidmatan ini.

“Sayang sekiranya bangunan yang mempunyai seni bina unik ini dibiarkan begitu sahaja sedangkan ia berpotensi menjadi tarikan pelancongan sekali gus menjana ekonomi penduduk setempat,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Razali berkata, pemuliharaan stesen berkenaan juga mampu memberi peluang kepada ge­nerasi muda mengenali sejarah perkembangan sistem pengangkutan kereta api serta kepen­tingannya kepada pembangunan daerah Rembau suatu ketika dahulu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk setempat Sufian Abu, 42, turut menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan bangunan berkenaan yang disifatkan amat merugikan sekiranya terus dibiarkan tanpa usaha pemuliharaan.

“Memang sayang melihat tempat yang mempunyai nilai sejarah seperti ini terbiar. Kalau dipulihkan dan dijadikan galeri sejarah atau pusat pelancongan, sekurang-kurangnya generasi akan datang masih boleh melihat sendiri warisan yang pernah menjadi kebanggaan penduduk Rembau,” tambahnya.

The post Stesen Keretapi Rembau hanya tinggal nama appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved