
KUALA LUMPUR - Menteri Sumber Manusia, Steven Sim didakwa bersikap anti-kesatuan dan bertanggungjawab atas pelbagai tindakan yang diambil 17 bank untuk melemahkan gerakan kesatuan sekerja.
Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE), J Solomon berkata, menteri berkenaan telah melanggar undang-undang negara dan piawaian antarabangsa.
Menurut beliau, antara tindakan tersebut termasuk rundingan rahsia dengan bank yang telah menafikan hak 15,000 ahli kesatuan dari kumpulan B40 dan M40 untuk menerima Bantuan Perayaan satu bulan gaji bermula 2024.
“Steven Sim turut melanggar undang-undang tempatan dan Piawaian Buruh Antarabangsa apabila merujuk Perjanjian Kolektif Ke-20 ke Mahkamah Perusahaan, sedangkan beliau sedar majikan langsung tidak mengadakan mesyuarat rundingan.
“Sim juga mengabaikan aduan berkaitan gangguan di tempat kerja. Campur tangan diskriminatif sebegini jelas menunjukkan pengabaian terhadap perlindungan pekerja serta kegagalan menjunjung tanggungjawab kesatuan dalam mempertahankan ahlinya,” katanya hari ini.

Jelas Solomon, amat mengecewakan apabila Sim yang sepatutnya menjadi pembela hak pekerja kini dilihat bersekongkol dengan pihak bank untuk menekan aktiviti kesatuan, selain mengabaikan surat dan permintaan rasmi daripada NUBE.
“Himpunan ‘Suara Yang Tidak Didengari’ pagi tadi bertujuan menghantar mesej jelas kepada Kerajaan Perpaduan bahawa tindakan-tindakan ini melanggar undang-undang buruh Malaysia dan bercanggah dengan piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan kebebasan berpersatuan dan rundingan bersama.
“Ini bukan sekadar kecuaian pentadbiran — ini adalah serangan sistematik terhadap maruah pekerja dan kebebasan kesatuan sekerja,” katanya.
Tegas beliau, Kerajaan Perpaduan perlu menjunjung Konvensyen ILO 98 yang telah diratifikasi oleh Malaysia, selain menguatkuasakan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 tanpa diskriminasi.
“Ini selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 yang menekankan pengukuhan kesatuan sekerja,” katanya. - Getaran, 1 Mei 2025



