Steven Sim gesa batal demonstrasi Ops Terjah kuil Hindu

LocalPolitics
3 Mar 2026 • 9:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Poster yang tular di media sosial mengenai perhimpunan di hadapan Hospital Bukit Mertajam pada petang 7 Mac ini.
image is not available
Steven Sim

GEORGE TOWN - Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menggesa supaya perhimpunan yang dinamakan sebagai Ops Terjahan Rumah Anutan Haram yang didakwa akan diadakan di sebuah kuil Hindu berhampiran Hospital Bukit Mertajam pada 7 Mac ini dibatalkan serta-merta.

Beliau berkata, Malaysia merupakan sebuah negara majmuk dan tiada mana-mana pihak perlu menjadi ‘wira’ dengan memainkan sentimen agama serta kaum sehingga boleh menjejaskan keharmonian.

Menurutnya, tindakan berhimpun secara provokatif bukan sahaja tidak membantu menyelesaikan masalah malah berpotensi mengapi-apikan kebencian yang boleh merosakkan perpaduan negara.

“Malaysia sebuah negara dengan masyarakat yang majmuk. Mana-mana pihak pun tak perlu jadi wira sentimen agama dan kaum.

**media[3452066]**

"Provokasi berhimpun seperti ini tak membantu untuk menyelesaikan masalah negara, malah mengapi-apikan kebencian yang boleh memusnahkan negara," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Selasa.

Tambah beliau, sebagai wakil rakyat, beliau tidak akan membiarkan rakyat Malaysia diugut dan dibuli.

"Saya masuk politik membela hak semua rakyat Malaysia tak kira kaum dan agama. Orang Islam saya jaga, orang bukan Islam saya jaga. Saya tak akan biarkan mana-mana rakyat Malaysia diugut dan dibuli.

"Batalkan perhimpunan, hentikan provokasi, jangan buat huru-hara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Steven turut memaklumkan, beliau telah meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memastikan tiada sebarang perhimpunan berunsur provokasi diadakan oleh mana-mana pihak.

Beliau menegaskan, semua pihak perlu menghormati undang-undang serta menjaga keharmonian antara kaum dan agama demi kestabilan negara.

Terdahulu tular sebuah poster mengenai perhimpunan di Hospital Bukit Mertajam yang akan diadakan pada jam 3 petang, 7 Mac ini.

Tujuan perhimpunan itu diadakan dipercayai untuk menggesa pihak berkuasa meroboh sebuah kuil yang terletak di hadapan hospital berkenaan.