amree07/04/2026 - 14:40 STEVEN Sim (duduk tujuh dari kiri) pada sesi libat urus bersama Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) di Kuala Lumpur. - Foto ihsan Kuskop Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 April — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) mengemukakan pelan tindakan 10 perkara bagi memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah tersebut melibatkan kerjasama lebih erat dengan institusi perbankan tempatan dan turut menerima sokongan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM).
Syor itu dibentangkan pada sesi libat urus dihadiri 16 wakil pengurusan tertinggi bank, diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malayan Banking Berhad, Datuk Seri Khairussaleh Ramli.
"Inisiatif ini bertujuan memperkukuhkan penyelarasan antara kerajaan dan sektor kewangan dalam membantu PMKS berdepan isu ketidaktentuan global serta tekanan kos," jelas Kuskop dalam kenyataan.
Antara fokus utama pelan tindakan itu termasuk memastikan akses berterusan kepada pembiayaan modal kerja, memandangkan kira-kira 43% daripada pinjaman PMKS digunakan bagi keperluan operasi harian.

Selain itu jelasnya, Sim turut mencadangkan kriteria penilaian lebih inklusif bagi meningkatkan akses pembiayaan, di samping mempercepat proses kelulusan pinjaman, dan fleksibiliti pembayaran
Usaha ini termasuk penstrukturan semula dan moratorium secara bersasar, manakala pendekatan 'no wrong door' juga dicadangkan bagi membolehkan PMKS dapat dirujuk kepada institusi kewangan lain.
"Kaedah tersebut sekiranya produk yang sesuai tidak tersedia di bank asal, sementara langkah bagi meningkatkan promosi dan produk kewangan berfokuskan PMKS sepanjang tahun ini," tambah Kuskop.
Pelan tersebut turut menekankan pendekatan kerjasama lebih luas antara bank perdagangan, institusi kewangan pembangunan (DFI) serta agensi kerajaan bagi mengoptimumkan pelbagai sumber pembiayaan.
Pada masa sama jelas kenyataan itu, usaha pembangunan kapasiti akan turut dipergiatkan kerajaan termasuk melalui kolaborasi dengan SME Corp Malaysia bagi meningkatkan nilai akreditasi PMKS.

Inisiatif seperti program PowerUp10k juga kata Kuskop, akan diperkasakan bagi menyokong serta merancakkan lagi penskalaan perniagaan tempatan yang dikendalikan oleh rakyat Malaysia sendiri.
Sim turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen wakil bank yang hadir, termasuk pengurusan kanan Public Bank Berhad dan RHB Bank Berhad, dalam menyokong cadangan yang dikemukakan tersebut.
"Beliau juga menegaskan yang segala pendekatan secara menyeluruh melibatkan keseluruhan ekosistem adalah penting bagi memastikan PMKS di negara ini terus kekal berdaya tahan dan berdaya saing.
Secara keseluruhan, Kuskop melihat kerjasama kerajaan dan institusi kewangan sebagai pemangkin utama memastikan pertumbuhan mampan PMKS, meskipun berdepan cabaran ekonomi global. - DagangNews.com
