Steven Sim: Persidangan Kebangsaan DAP 2023 10 Sept

Politics
4 Sep 2023 • 3:47 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: DAP akan mengadakan Persidangan Kebangsaan 2023 Ahad ini (10 Sept), yang pertama selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Steven Sim (gambar) berkata persidangan sehari di Marriot Putrajaya, dengan 3,868 perwakilan yang layak hadir itu antara lain bakal membincangkan isu dalaman, dasar dan hala tuju parti serta pembangunan ekonomi.

Beliau berkata pemimpin daripada parti dalam Kerajaan Perpaduan turut dijemput untuk menghadiri upacara perasmian persidangan berkenaan.

“Jemputan telah dihantar pada 23 Ogos lepas. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun telah kita jemput,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sim berkata sebanyak 1,530 cawangan DAP di seluruh negara layak menghantar wakil ke persidangan berkenaan yang merupakan mesyuarat agung tahunan (AGM) DAP itu.

“Persidangan ini AGM, jadi kita akan fokus isu dalaman, dasar dan hala tuju parti...sudah tentu antara perkara utama yang akan dibincangkan ialah penubuhan Kerajaan Perpaduan bukan sahaja peringkat pusat tapi juga negeri.

“Antara isu ialah hala tuju terutamanya dari segi dasar pembangunan ekonomi untuk rakyat dan sebagainya,” katanya sambil memberitahu perwakilan yang hadir juga bebas membangkitkan soal dasar dan perjuangan parti. -Bernama