hamden17/04/2026 - 09:59 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 April - Techbond Group Bhd dijangka mampu mengekalkan kestabilan margin dalam jangka pendek meskipun berdepan tekanan kos bahan mentah susulan kenaikan harga minyak global menurut RHB Research.
Firma penyelidikan iru berkata, syarikat mempunyai stok mencukupi untuk tempoh enam hingga sembilan bulan, yang dijangka menyokong margin keuntungan kasar (GPM) dalam tempoh terdekat.
Katanya, kos vinyl acetate monomer (VAM) — bahan mentah petrokimia utama yang merangkumi sekitar 80% hingga 85% daripada kos jualan (COGS) — dijangka meningkat antara 5% hingga 10% berbanding paras sebelum konflik di Timur Tengah.
"Berdasarkan analisis sensitiviti, kenaikan 5% kos bahan mentah boleh mengurangkan GPM sekitar 1% bagi FY2026 (melibatkan tempoh empat bulan), dan kira-kira 3% bagi FY2027 hingga FY2028.
"Margin bagaimanapun dijangka kembali normal bermula suku keempat FY2026 apabila stok sedia ada beransur-ansur susut dan digantikan dengan bahan mentah pada harga spot yang lebih tinggi," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut RHB Research, lonjakan hasil dijangka berlaku pada separuh kedua FY2026 apabila pelanggan meningkatkan tempahan lebih awal, dengan kos logistik dipindahkan kepada pengguna.
"Bekalan gas asli cecair (LNG) untuk operasi kilang dilaporkan tidak terjejas, walaupun kos berkaitan meningkat," ujar firma itu lagi.
Kelebihan daya saing Techbond turut disokong oleh keupayaan pengeluaran polimer secara dalaman, ketika pengurangan output petrokimia di rantau Teluk mewujudkan cabaran bekalan kepada pesaing.
Sehubungan itu RHB Research mengekalkan saranan BELI ke atas Techbond dengan harga sasaran (TP) baharu sebanyak RM0.37, lebih rendah berbanding RM0.42 sebelum ini, namun masih menawarkan potensi kenaikan sekitar 32%.
Penganalisis turut mengunjurkan pulangan hasil kira-kira 4% bagi tahun kewangan 2026 (FY26F berakhir Jun).
Menurut RHB Research, semakan penilaian dibuat dengan menggunakan asas nisbah harga kepada pendapatan (P/E) CY2027 sebanyak 13 kali, berbanding 14.5 kali bagi CY2026 sebelum ini.
Langkah itu diambil susulan semakan turun unjuran pendapatan bagi FY2027 hingga FY2028, mengambil kira ketidaktentuan makroekonomi serta peningkatan kos bahan mentah ekoran konflik di Timur Tengah.
Dalam pada itu, saham Techbond kini diniagakan pada sekitar 10.3 kali P/E FY2026, bersamaan kira-kira 0.6 kali nisbah harga kepada nilai buku (P/BV).
Penilaian tersebut dilihat menarik kerana berada hampir satu sisihan piawai di bawah purata sejarah lima tahun syarikat, iaitu sekitar 18 kali. - DagangNews.com
