Stok minyak sawit Malaysia dijangka susut kepada 1.7 juta tan menjelang akhir tahun ini – MPOB

29/09/2025 - 15:17
KUALA LUMPUR 29 Sept - Stok minyak sawit Malaysia dijangka menyusut dalam beberapa bulan akan datang dan berakhir sekitar 1.7 juta tan metrik menjelang hujung tahun, berikutan pengeluaran bermusim yang semakin perlahan serta peningkatan eksport bagi memenuhi permintaan musim perayaan, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, penurunan inventori itu dijangka menyokong niaga hadapan yang baru-baru ini berada di bawah tekanan akibat bekalan minyak soya yang lebih murah.
“Pengeluaran semakin menurun secara perlahan, dan kami menjangkakan eksport akan meningkat dalam beberapa bulan mendatang disebabkan permintaan musim perayaan,” katanya.
Secara lazimnya, pengeluaran minyak sawit Malaysia berkurangan menjelang akhir tahun selepas suku ketiga yang kukuh.
Menurut data MPOB, stok minyak sawit negara meningkat 4.18% bulan ke bulan pada Ogos kepada 2.2 juta tan, paras tertinggi sejak Disember 2023.
Harga minyak sawit kebelakangan ini tertekan berikutan penurunan mendadak harga minyak soya yang menjadikannya lebih kompetitif, mendorong pembeli utama minyak sawit dunia, India, meningkatkan pembelian minyak soya bagi bulan-bulan akan datang.
Namun begitu, Ahmad Parveez menjelaskan, harga minyak sawit dijangka kekal kukuh dalam beberapa bulan akan datang berikutan ketidakpastian bekalan dari Indonesia.
Eksport dari Indonesia berpotensi terjejas oleh cadangan pelaksanaan program biodiesel B50 serta tindakan kerajaan merampas ladang kelapa sawit, katanya.
Buat masa ini, Indonesia mewajibkan campuran biodiesel sebanyak 40% minyak sawit dan merancang menaikkannya kepada 50% bermula tahun hadapan.
Awal bulan ini, Indonesia menyerahkan 674,178 hektar (1.7 juta ekar) ladang kelapa sawit kepada syarikat milik kerajaan Agrinas Palma Nusantara, menjadikan jumlah keseluruhan tanah yang diserahkan kepada firma itu sebanyak 1.5 juta hektar (3.7 juta ekar).
Sementara itu, usaha penanaman semula kelapa sawit di Malaysia berjalan perlahan. Bagi mempercepatkan proses itu, MPOB menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan kepada RM280 juta bagi tahun 2026, berbanding hanya RM100 juta tahun ini, katanya. - DagangNews.com
featured standard

