Stok minyak sawit Malaysia meningkat 12.6% kepada 1.69 juta tan pada Mei 2023 - MPOB

Business & Finance
12 Jun 2023 • 5:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Stok minyak sawit Malaysia meningkat 12.6% kepada 1.69 juta tan pada Mei 2023 - MPOB

zulfadli

12/06/2023 - 17:53

KUALA LUMPUR 12 Jun - Jumlah stok minyak sawit Malaysia meningkat 12.6% kepada 1.69 juta tan pada Mei 2023 daripada 1.5 juta tan pada bulan sebelumnya.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam laporan prestasi terkini industrinya berkata, inventori minyak sawit mentah (MSM) naik 10.7% kepada 921,800 tan bulan lepas daripada 832,966 tan pada April.

Sementara itu, stok minyak sawit yang diproses naik 15.1% kepada 764,982 tan daripada 664,651 tan sebelum ini.

Pengeluaran MSM meningkat 26.8% kepada 1.52 juta tan pada Mei daripada 1.2 juta tan pada bulan sebelumnya, manakala pengeluaran isirung sawit naik 25.1% kepada 367,689 tan daripada 293,919 tan.

Bagaimanapun, MPOB berkata, eksport minyak sawit susut 0.8% atau 8,521 tan kepada 1.08 juta tan pada Mei daripada 1.09 juta tan sebelum ini manakala eksport oleo kimia meningkat 2.5% kepada 227,043 tan.

Sementara itu, eksport biodiesel melonjak 219.8% kepada 13,568 tan pada Mei berbanding 4,242 tan bulan sebelumnya, eksport dedak isirung sawit meningkat 4.2% kepada 177,877 tan daripada 170,772 tan sebelum ini, dan eksport minyak isirung sawit naik 6.1% kepada 93,804 tan daripada 88,447 tan pada April, lapor Bernama.

Jumlah import MSM kekal sifar pada Mei, manakala jumlah import minyak sawit melonjak 87.7% kepada 80,926 tan berbanding 43,118 tan bulan sebelumnya. - DagangNews.com