#STOK RAYA 18 JUNKetepikan keinginan kerja di bandar demi jaga ibu strok

16 Jun 2024 • 12:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rodiah (duduk) menghidap strok pada tahun 2021 dan kini dijaga oleh suami dan Siti Mardhiah di Segamat, Johor.

SHAH ALAM - Semua insan memiliki keinginan untuk bekerja di bandar dan meraih pendapatan lumayan, namun ada dalam kalangan mereka tidak dapat merealisasikan impian itu kerana ‘terikat’ dengan tanggungjawab terhadap ibu bapa.

Seorang pekerja swasta, Siti Mardhiah Zainal Abidin, 24, berkata, dia memiliki impian untuk membina kerjaya di Kuala Lumpur seperti rakan-rakan yang lain, namun semua keinginan itu berubah selepas ibunya, Rodiah Abd Majid, 63, terlantar sakit.

Menurutnya, dia pernah mendapat tawaran bekerja di Kuala Lumpur tetapi terpaksa menolak kerana memikirkan keadaan ibu yang kini tidak boleh menguruskan diri kerana diserang strok.

“Saya tidak pernah salahkan takdir atas apa yang berlaku sebaliknya bersyukur kerana berpeluang berbakti menjaga ibu.

“Alhamdulillah, walaupun keinginan nak kerja di luar (bandar) tak tercapai tetapi saya bahagia kerana pekerjaan sekarang cukup baik bagi saya,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambah Siti Mardhiah, dia berlapang dada dan percaya kepada rezeki yang telah ALLAH SWT tetapkan.

Ketika ditanya mengenai serangan strok ibunya alami, dia berkata, kejadian berlaku pada tahun 2021 dan tiga hari sebelum kejadian Rodiah menunjukkan perubahan dalam melakukan aktiviti seharian yang mana anggota tubuh sebelah kanan menjadi lemah.

“Saya tidak akan lupa peristiwa itu kerana ia terjadi ketika kami sekeluarga berada di rumah kakak di Ampang, Kuala Lumpur. Apabila ibu tidak boleh bangun dan bercakap, kami (adik-beradik) terus membawanya ke Hospital Ampang.

“Berdasarkan diagnosis pakar, ibu disahkan menghidap strok iskemik (salur darah di dalam otak tersumbat) dan hilang keupayaan untuk menggerakkan anggota badan sebelah kanan,” kongsinya.

Mendengar perkhabaran itu, Siti Mardhiah berkata, dia pernah terdetik mahu menangguhkan pengajian buat sementara waktu kerana mahu fokus menjaga ibu yang turut ada sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolestrol.

“Mujur pada ketika itu, pengajian dijalankan secara atas talian. Jadi saya dapat jaga ibu dan belajar pada masa yang sama,” katanya yang menetap di Segamat, Johor.

Tambahnya lagi, dia tidak akan berputus asa membantu ibu tercinta untuk sembuh seperti sedia kala walaupun proses penyembuhan mengambil masa yang lama.

Menurut Siti Mardhiah, melihat kepada keadaan Rodiah membuat dirinya menjadi lebih peka dalam pemberian ubat-ubatan tepat pada waktu dan memantau pemakanan yang diambil.

“Pemakanan itu pun saya jaga dan apa-apa makanan tinggi dengan kolesterol saya elak untuk beri walaupun itu yang paling emak minati,” ungkapnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

View Original Article