
KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini mengeluarkan perintah denda RM60,000 ke atas Syarikat Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd dan syarikat pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd susulan pertuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah, Mac lalu.
Menurut laporan Harian Metro, Hakim Muhamad Anas Mahadzir membuat penetapan tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud memaklumkan terdapat perkembangan baharu berhubung kes dan memohon pertuduhan dibacakan semula terhadap semua tertuduh.
Wakil KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Tee Kok Hiem selaku pengurus besar syarikat dan Pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Hui Sa mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibaca.
Pada Mac lepas, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah.
Kee Kan, 57 dan Siew Mui, 53, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan hakim.
Kee Kan dan Siew Mui selaku pengarah KK Supermart & Superstore Sdn Bhd dituduh berniat dengan sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran jualan yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.
Kedua-dua mereka didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway pada 6.30 pagi, 13 Mac lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama, membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Syarikat pembekal yang mengedar barangan kepada KK Super Mart iaitu Xin Jian Chang Sdn Bhd bersama tiga pengarahnya didakwa bersubahat melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah pada tempat, waktu dan tarikh yang sama. - Getaran, 15 Julai 2024

