Storan SanDisk UltraQLC DC SN670 Dikemaskini Dengan Penawaran 256TB Untuk Tahun Hadapan – 1PB Di Masa Akan Datang

TechnologyDigital
6 Aug 2025 • 3:45 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

SanDisk, jenama pengeluar storan flash baru-baru ini telah mengemaskini penawaran storan SSD SanDisk UltraQLC DC SN670 yang kini hadir dengan penawaran storan yang lebih besar, dan akan melancarkan lebih banyak lagi penawaran storan yang besar pada tahun-tahun berikutnya.

Pada awal tahun ini, storan Sandisk UltraQLC DC SN670 telah dilancarkan dengan pilihan storan 30TB ke 122TB. Terkini, mereka telah memperlihatkan penawaran storan yang lebih besar, iaitu sebanyak 256TB.

image is not available

Storan SSD ini menggunakan cip storan BiCS8 3D QLC NAND bersaiz 2Tb, yang membolehkan SanDisk menindannya dan menghasilkan storan dengan kapasiti gergasi tersebut. Storan ini hadir dengan kadar pembacaan data 13GB/s dan kadar penulisan data sepantas 3GB/s menggunakan antaramuka PCIe 5.0.

Satu lagi kelebihan storan UltraQLC ini ialah kebolehannya untuk menulis data terus ke cip memori QLC, dan kini tidak lagi perlu melalui cip memori SLC menggunakan teknologi Direct Write QLC. Sebelum ini, untuk memastikan bahawa storan menggunakan cip QLC boleh bertahan lebih lama, data yang ditulis ke storan ini akan perlu ditulis ke cip storan SLC (Single Level Cell) terlebih dahulu.

image is not available

Teknologi ini memudahkan proses penulisan data ke storan QLC secara terus dan mengurangkan masa pendam untuk mengakses data, tetapi isu kekal QLC yang diperlihatkan ialah kadar penulisan data untuk storan jenis ini adalah lebih perlahan.

Fungsi Dynamic Frequency Scaling pula dilihat membantu menskalakan kelajuan pembacaan dan penulisan data pada SSD ini untuk mempercekapkan penggunaan tenaga elektrik. SanDisk tidak memberi begitu banyak butiran tentang teknologi ini, tetapi ia dijangka akan diperlihatkan lagi lebih dekat kepada pelancaran produk ini.

image is not available

Dalam pada itu, SanDisk juga mengesahkan bahawa mereka akan melanjutkan penawaran storan SSD pusat data ini kepada pilihan storan 512TB dan 1PB (petabyte) di masa akan datang. Storan Sandisk UltraQLC DC SN670 bersaiz 256GB ini akan ditawarkan pada tahun 2026 kelak, manakala storan 512TB akan tiba pada tahun 2027 kelak. Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi bilakah pilihan storan 1PB akan diperkenalkan.