Strategi berisiko tinggi, impak wabak Covid-19 punca pelaburan FashionValet gagal - PAC

21/08/2025 - 13:03
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 21 Ogos – Kegagalan pelaburan Khazanah Nasional Berhad dalam FashionValet berpunca daripada strategi kepelbagaian yang berisiko tinggi, menurut Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Selain itu, laporan PAC yang dibentangkan di Dewan Rakyat itu mendedahkan kejutan pasaran akibat wabak Covid-19 dan perubahan ketara dalam tingkah laku pengguna pasca pandemik juga menjadi faktor kegagalan.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, siasatan mendapati walaupun pelaburan itu melalui proses wajar, tiada prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan analisis ke atas pelaburan yang telah dilupuskan dengan kerugian melebihi ambang material.
“Ketiadaan SOP ini menjejaskan keupayaan Khazanah untuk memperkukuhkan pembelajaran institusi dan akauntabiliti dalam pelaburan berisiko,” kata beliau pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Laporan PAC itu menggariskan lima penemuan utama berkaitan pelaburan domestik Khazanah di bawah Kementerian Kewangan (MOF), termasuk struktur tadbir urus pelaburan berlapis dan pemantauan strategik oleh kerajaan yang tidak mencampuri urusan operasi harian, selaras amalan tadbir urus baik.
PAC turut menekankan wujud ketidaksejajaran antara mandat komersial Khazanah untuk menjana pulangan pelaburan dan peranannya sebagai instrumen pembangunan negara yang tertakluk kepada keutamaan dasar kerajaan.
Bagaimanapun, pendekatan pelaburan modal teroka (VC) oleh Khazanah melalui kaedah 'dana kepada dana’ dianggap bersesuaian dalam merangsang ekosistem inovasi domestik walaupun ia berisiko tinggi secara semula jadi.
Susulan dapatan tersebut, PAC mencadangkan empat langkah penambahbaikan, antaranya Khazanah perlu mendidik orang awam secara berterusan mengenai strategi dan risiko pelaburan VC, termasuk melalui laporan tahunan, siaran media, dan platform komunikasi lain.
Selain itu, ia wajar mewujudkan SOP analisis bedah siasat bagi semua pelaburan yang dilupuskan dengan kerugian material dan laporan berkenaan perlu dibentangkan kepada Jawatankuasa Audit Lembaga dan Lembaga Pengarah.
PAC turut mengesyorkan Khazanah mengukuhkan rangka kerja pengurusan risiko dengan menambah baik analisis senario untuk menangani kejutan bukan pasaran seperti perubahan teknologi, pandemik, geopolitik, dan sentimen sosial.
"Laporan suku tahunan kepada MOF perlu merangkumi penilaian menyeluruh prestasi pelaburan, dan bukan sekadar metrik kewangan," katanya.
PAC menjalankan prosiding berikutan kerugian yang ditanggung daripada pelaburan dalam FashionValet, yang mencetuskan persoalan mengenai tadbir urus dan strategi pelaburan domestik Khazanah.
Antara pihak yang dipanggil memberi keterangan termasuk Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan MOF, Afidah Azwa Abdul Aziz dan Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.
Turut dipanggil PAC ialah Ketua Pegawai Pelaburan Khazanah, Datuk Hisham Hamdan, dengan sesi pendengaran telah diadakan pada 20 Februari 2025. - DagangNews.com
standard

