Strategi Mempercepat Pemulihan Ekonomi Antara Isu Di Dewan Rakyat Hari Ini

Politics
22 Mar 2023 • 9:17 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Langkah yang akan diambil kerajaan untuk mempercepat pemulihan ekonomi negara adalah antara isu yang dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Strategi mempercepat pemulihan ekonomi negara menjadi antara isu yang dibangkitkan pada Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini. 

image is not available
Muhyiddin Yassin

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) bertanyakan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berhubung strategi dan langkah yang akan diambil kerajaan untuk mempercepat pemulihan ekonomi negara, khususnya bagi memenuhi keperluan kumpulan rentan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pada sesi soal jawab lisan.

Selain itu, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) bertanyakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkembangan pindaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan untuk menyahjenayah cubaan bunuh diri, bagi menangani peningkatan cubaan membunuh diri di seluruh negara.

Turut menarik perhatian, soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan sejauh manakah kementerian bersetuju menguatkuasakan Akta Bahasa Kebangsaan di institusi pengajian tinggi, terutama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Selesai sesi berkenaan, Mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa. - Bernama