Street Fighter: Bukti betapa hebatnya sebuah nostalgia

GamingMovie
24 Oct 2026 • 10:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Street Fighter: Bukti betapa hebatnya sebuah nostalgia

SEBELUM ulasan ini diluncurkan, suka untuk penulis mengakui diri ini bukan peminat tegar permainan arked Street Fighter apatah lagi siri animasi kartun itu yang lama diperkenalkan kepada dunia.

Kendatipun, suatu ketika dahulu terjemahan filem itu kerap dipandang dingin akibat kegagalan memvisualkan ke bentuk sinematik, ‘buah tangan’ baharu jenama terbabit ternyata membuktikan sebaliknya.

Kali ini, ia bukan sahaja hadir sebagai sebuah naskhah aksi blokbuster biasa, malah berdiri kukuh sebagai penanda aras bagaimana sebuah francais legenda berusia lebih tiga dekad mampu diolah semula secara moden tanpa mengorbankan identiti asalnya.

Bagi pencinta sukan aksi dan peminat tegar arena permainan video, kemunculan filem tersebut sudah tentu menjadi antara tajuk paling dinantikan tahun ini.

Selepas beberapa percubaan terdahulu pada era 1990-an dan 2000-an yang kurang menyengat, penterjemahan baharu ini tampil dengan keyakinan luar biasa.

Pengarah dan pasukan kreatif di belakang tabir kelihatan sangat memahami struktur naratif yang diinginkan penonton. Mereka tidak sekadar menjual nama besar Street Fighter, sebaliknya membina sebuah dunia naratif yang sarat kualiti.

Image from: Street Fighter: Bukti betapa hebatnya sebuah nostalgia
WATAK ikonik Ryu (kiri) dan Ken diterjemah cemerlang oleh dua pelakon iaitu Andrew Koji serta Noah Centineo dalam filem kali ini.

Terjemahan karakter

Fokus penceritaan bermula dengan penganjuran kejohanan pertarungan gergasi World Warrior yang dikendalikan oleh pertubuhan antarabangsa, Shadaloo.

Penganjuran kejohanan ini bagaimanapun hanyalah muslihat kotor untuk mengumpul pakar seni bela diri terbaik dunia demi agenda yang lebih gelap.
Watak ikonik Ryu dan Ken Masters menjadi tunjang utama naratif.

Hubungan persahabatan serta persaingan saudara seperguruan antara kedua-dua pahlawan ini digambarkan dengan begitu mendalam, sekali gus memberi nilai emosi yang ampuh di sebalik ledakan aksi di gelanggang.

Kehadiran Chun-Li pula menyuntik elemen dramatik yang sangat mendebarkan. Didorong oleh dendam peribadi atas kematian bapanya, setiap pergerakan dan keputusan watak ini dipancarkan dengan keazaman waja yang cukup memukau penonton.

Tidak ketinggalan, watak Kapten Guile dan skuad ketenteraannya membawa dimensi ketegangan taktikal. Misi mereka untuk menumpaskan empayar Shadaloo memberikan imbangan plot yang kemas antara aksi seni bela diri tradisional dan operasi ketenteraan skala besar.

Di sudut antagonis, watak M. Bison ditonjolkan dengan karisma yang sangat menggerunkan.

Ancaman yang dibawakan oleh pemimpin Shadaloo itu benar-benar terasa dominan, menjadikan setiap babak penampilannya sarat dengan suasana intimidasinya yang tersendiri.

Pengarah tidak tergesa-gesa memperkenalkan setiap watak, sebaliknya memberi ruang yang wajar untuk latar belakang mereka berkembang.

Aspek yang paling mendapat pujian sudah pastinya koreografi pertarungan. Setiap tumbukan, tendangan dan susunan aksi disusun dengan penuh ketelitian. Ia kelihatan cukup realistik namun pada masa sama, mengekalkan elemen fantasi yang menjadi tiang seri permainan asalnya.

Gerakan signatur seperti Hadoken, Shoryuken, dan Spinning Bird Kick dipersembahkan dengan teknik visual yang cukup estetik sekali gus tidak kelihatan janggal atau melampau.

Image from: Street Fighter: Bukti betapa hebatnya sebuah nostalgia
WATAK ‘villain’, M. Bison antara perihal yang melunaskan kemenjadian Street Fighter.

CGI bagus

Penggunaan teknologi kesan khas visual (CGI) juga wajar diberi pujian tinggi sementelah rekaan kostum dan tatarias watak berjaya mengekalkan kesetiaan kepada rekaan asal Capcom.

Dari segi tata bunyi dan gubahan muzik latar, filem ini menyuntik tenaga yang luar biasa. Ritma muzik yang menggabungkan elemen orkestra moden dan sentuhan elektronik klasik berjaya menaikkan adrenalin dalam setiap babak kritikal.

Barisan pelakon utama pula menampilkan prestasi lakonan yang sangat memberangsangkan. Mereka bukan sahaja memiliki kebolehan fizikal untuk melakukan aksi lagak ngeri, malah berjaya menyampaikan julat emosi watak dengan begitu berkesan.

Penampilan watak-watak sampingan seperti Zangief, Blanka, Cammy dan Dhalsim turut memberi warna serta kepelbagaian gaya pertarungan yang menyegarkan.

Pacing

Tempo penceritaan (pacing) disusun dengan begitu rapi dari babak pengenalan sehinggalah ke kemuncak kejohanan. Penonton tidak diberi ruang untuk rasa bosan kerana setiap babak disusun dengan kecakapan naratif yang tinggi.

Secara keseluruhannya, Street Fighter terbaharu ini adalah sebuah karya yang berjaya melunaskan janji dan harapan peminat — A must-watch!

The post Street Fighter: Bukti betapa hebatnya sebuah nostalgia appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved