
PERNAHKAH berasa terlalu letih walaupun tidak melakukan kerja berat, sukar tidur, mudah marah atau sentiasa cemas tanpa sebab yang jelas? Ramai menganggap keadaan itu sekadar tekanan harian. Hakikatnya, stres yang berpanjangan boleh menjejaskan kesihatan.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 melaporkan hampir satu juta rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan. Dalam kalangan kanak-kanak pula, seorang daripada setiap enam orang dikenal pasti berdepan masalah kesihatan mental, hampir dua kali ganda berbanding 2019.
Dari sudut bioperubatan, stres merangsang otak menghasilkan hormon kortisol. Dalam tempoh singkat, hormon ini membantu tubuh bertindak balas terhadap cabaran dengan meningkatkan tenaga dan kewaspadaan. Namun, apabila paras kortisol kekal tinggi dalam jangka panjang, pelbagai fungsi penting tubuh mula terjejas. Antaranya termasuk gangguan tidur, peningkatan tekanan darah, perubahan metabolisme gula dan lemak serta kelemahan sistem imun.
Keadaan ini turut mengganggu keupayaan badan membaiki kerosakan sel dan mengawal keradangan. Kajian menunjukkan stres kronik boleh mengurangkan keberkesanan sel pembunuh semula jadi serta meningkatkan penghasilan bahan keradangan seperti interleukin-6 (IL-6) dan faktor nekrosis tumor alfa (TNF-a). Keradangan yang berpanjangan dikaitkan dengan peningkatan risiko pelbagai penyakit tidak berjangkit.
Walaupun stres bukan penyebab langsung kanser tetapi boleh mewujudkan persekitaran biologi yang memudahkan penyakit berkembang apabila digabungkan dengan faktor lain seperti obesiti, merokok, kurang bersenam dan pemakanan tidak seimbang.
Stres juga mempengaruhi gaya hidup. Individu yang tertekan cenderung mengabaikan senaman, memilih makanan tidak sihat, mengalami gangguan tidur atau mengamalkan tabiat yang memudaratkan kesihatan. Gabungan faktor ini akhirnya meningkatkan risiko penyakit kronik.
Namun, stres boleh diurus dengan berkesan. Aktiviti fizikal secara berkala, pemakanan seimbang, tidur yang mencukupi, sokongan keluarga dan rakan, amalan kerohanian serta teknik relaksasi mampu membantu mengurangkan kesan fisiologi akibat tekanan. –UTUSAN
Profesor Madya Dr. Rabiatul Basria S. M. N. Mydin
Jabatan Sains Bioperubatan,
Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi,
Universiti Sains Malaysia
The post Stres tingkat risiko penyakit kronik appeared first on Utusan Malaysia.
