Strok haba bukan baharu, tetapi semakin membimbangkan

LocalHealth & Fitness
5 May 2026 • 9:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Strok haba bukan baharu, tetapi semakin membimbangkan
Pendedahan berpanjangan di bawah terik matahari tanpa rehat mencukupi atau hidrasi yang baik boleh meningkatkan risiko secara drastik. Foto hiasan

GELOMBANG cuaca panas yang melanda negara ketika ini bukan lagi sekadar ketidakselesaan harian, sebaliknya menjadi ancaman kesihatan yang nyata, khususnya kepada komuniti sekolah.

Dalam suasana suhu yang semakin meningkat, risiko strok haba tidak boleh dipandang ringan.

Laporan media menyebut kira-kira 56 kes strok haba direkodkan di seluruh negara setakat ini, dengan dua kes kematian.

Walaupun angka itu dilihat terkawal, hakikatnya setiap kes melibatkan risiko nyawa dan isyarat jelas bahawa keadaan cuaca semasa kini pada tahap membimbangkan.

Strok haba bukan fenomena baharu. Ia telah lama dikenal pasti sebagai risiko kesihatan, terutama di negara beriklim panas.

Namun, perubahan corak cuaca dan peningkatan suhu global menjadikan ancaman ini semakin ketara dan kerap berlaku termasuk persekitaran sekolah.

Strok haba berlaku apabila suhu badan meningkat secara mendadak sehingga tubuh gagal menyejukkan diri.

Dalam konteks pendidikan, pelajar antara kumpulan paling terdedah, terutama ketika terlibat dalam aktiviti luar seperti perhimpunan, pendidikan jasmani dan kokurikulum.

Pendedahan berpanjangan di bawah terik matahari tanpa rehat mencukupi atau hidrasi yang baik boleh meningkatkan risiko secara drastik.

Persoalannya, sejauh mana tahap kesiapsiagaan sekolah dalam menghadapi situasi ini?

Walaupun pihak berkuasa telah mengeluarkan garis panduan berkaitan pengurangan aktiviti luar ketika cuaca panas, pelaksanaannya di peringkat sekolah masih belum menyeluruh.

Terdapat situasi di mana pelajar masih perlu berada di kawasan terbuka dalam tempoh yang lama, tanpa perlindungan sewajarnya.

Keadaan itu menimbulkan persoalan tentang tahap keutamaan terhadap aspek keselamatan pelajar.

Kesedaran dalam kalangan pelajar dan warga sekolah juga perlu diperkukuh.

Hakikatnya, dalam usaha mengejar kecemerlangan akademik dan kokurikulum, aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan.

View Original Article