Strok Penyakit Pembunuh Ketiga Rakyat Malaysia

Health & Fitness
18 Sep 2022 • 8:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Poster dari akaun Twitter KKM dengan cara mengenal pasti tanda awal strok dengan menggunakan singkatan B.E.F.A.S.T.

KUALA LUMPUR - Lebih separuh atau 55 peratus daripada pesakit strok atau angin ahmar mengalami hilang upaya akibat penyakit itu.

Sebanyak 40 peratus daripada individu yang menghidap masalah kesihatan itu pula, terdiri daripada golongan berusia kurang daripada atau 60 tahun dan 33 peratus pesakit dimasukkan ke hospital.

Manakala, 8.3 peratus daripada pesakit meninggal dunia kesan daripada penyakit berkenaan.

Itu statistik mengenai strok yang dikongsikan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Twitter hari ini.

Menerusi perkongsian itu, KKM memaklumkan strok adalah pembunuh ketiga rakyat Malaysia, selepas penyakit jantung dan pneumonia.

“Golongan muda dan pertengahan yang masih aktif menyumbang kepada aktiviti ekonomi keluarga dan pembangunan negara juga boleh terkena strok,” menurut KKM.

Justeru, KKM menasihatkan orang ramai supaya tidak mengabaikan gejala awal strok.

Menurut KKM, terdapat beberapa cara untuk mengenal pasti individu yang menghidap strok dengan menggunakan singkatan B.E.F.A.S.T.

Singkatan B merujuk kepada ‘balance’ atau hilang keseimbangan, E atau ‘eyes’ (kabur penglihatan), F atau ‘face’ (muka menjadi senget sebelah), A atau ‘arms’ (kelemahan atau kebas pada lengan), S atau ‘speech’ (percakapan tidak jelas) dan T atau ‘time’ (masa untuk menghubungi ambulans segera).

“Ingat strok adalah satu kecemasan perubatan di mana pesakit perlu mendapatkan rawatan dengan segera,” menurutnya. - Getaran, 18 September 2022