
KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata kerajaan masih mengkaji cadangan untuk memperkenalkan struktur baharu akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan diwujudkan apabila pencarum mencapai umur persaraan minimum.
Beliau berkata secara asasnya, struktur baharu itu akan terbahagi kepada dua komponen iaitu simpanan fleksibel dengan pengeluaran boleh dilakukan pada bila-bila masa mengikut kehendak ahli.
Komponen kedua adalah simpanan pendapatan, iaitu jumlah simpanan ahli akan diagihkan secara berkala atau bulanan sehingga habis.
"Ia (struktur baharu) akan terpakai kepada ahli baharu yang mendaftar selepas tarikh pelaksanaan sahaja. Namun, pada masa akan datang, jika telah kita laksanakan ahli yang sedia ada ingin memasuki cadangan itu juga boleh dilakukan.
"Bagaimanapun, cadangan ini sedang diteliti dan sebarang keputusan akan dibuat selepas sesi libat urus yang menyeluruh dengan pihak berkepentingan dan pertimbangan sewajarnya terhadap kepentingan jangka panjang ahli," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Hui Ying menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang mahukan pencerahan mengenai langkah yang diambil kerajaan untuk melaksanakan cadangan serta meneliti semula kaedah pengeluaran simpanan KWSP.
Sementara itu, beliau menegaskan pada masa ini, masih tidak ada perubahan terhadap polisi pengeluaran skim KWSP semasa dengan mengekalkan pilihan pengeluaran simpanan pada umur 55 dan 60 tahun.
"Pada masa kini, ahli mempunyai fleksibiliti untuk mengeluarkan simpanan mereka secara sekali gus, secara sebahagian atau melalui bayaran berkala," katanya.
Beliau turut memaklumkan jumlah keseluruhan ahli KWSP adalah seramai 16.5 juta orang setakat 31 Ogos 2025, dengan jumlah simpanan sebanyak RM1.31 trilion (meningkat 9.9 peratus berbanding RM1.20 trilion pada tahun 2024; dan 20.8% berbanding RM1.01 trillion pada tahun 2023).
Daripada jumlah tersebut, seramai 9.0 juta atau 55% daripada keseluruhan ahli KWSP adalah merupakan ahli aktif, dengan jumlah simpanan sebanyak RM1.07 trilion.
Pada Ogos lalu, Hui Ying dilapor berkata cadangan penstrukturan semula akaun KWSP bagi fasa penggunaan simpanan persaraan tidak akan menjejaskan hak pengeluaran ahli sedia ada.
Sebaliknya menurutnya, ia hanya terpakai kepada ahli baharu selepas tarikh pelaksanaan.
Menurutnya, bagi ahli semasa, peralihan kepada struktur baharu itu adalah secara sukarela dan kerajaan komited untuk menjalankan libat urus menyeluruh sebelum sebarang pelaksanaan dibuat. - 8 Oktober, 2025
The post Struktur baharu akaun KWSP masih dikaji: Hui Ying appeared first on Scoop.
