Suami Azar Azmi mohon jaminan minimun kerana tanggung 9 anak, jual tanah & gelaran datuk tak wujud. 'Maaf, bagi saya ruang' 

LocalPolitics
11 Mar 2026 • 3:13 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

SUAMI kepada pelakon Azar Azmi, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan urusan penjualan tanah kurniaan tidak wujud membabitkan kerugian lebih RM200,000 tahun lalu.

Dia yang pengakuan itu di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam didakwa telah menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM270,811 secara dalam talian ke akaun milik seorang wanita berusia 35 tahun untuk mendapat tanah kurniaan negeri Selangor yang tidak wujud.

Memetik Sinar Harian, lelaki itu juga telah mendorong mangsa menyerahkan wang tersebut yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan terbabit dilakukan pada 2 April 2025 hingga 13 November 2025 di sebuah bank di  Seremban.

image is not available

Dalam pada itu, bapa kepada sembilan cahaya mata itu juga turut mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli atas pertuduhan menipu seorang lelaki berusia 49 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM23,120 bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk yang tidak wujud.

Kesalahan  berkenaan pula berlaku antara 22 Januari 2025 hingga 9 November 2025 di sebuah pejabat di Seremban 2.

Difahamkan, kedua-dua pertuduhan dikenakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu jaminan minimum kerana isterinya tidak bekerja dan perlu menanggung sembilan anak.

Dia turut memaklumkan bahawa menghidap sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan gout.

Mahkamah Sesyen menetapkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin yang bukan isteri tertuduh manakala Mahkamah Majistret RM3,000.

Tertuduh turut diarahkan menyerahkan pasport, melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan hingga kes selesai. Tarikh sebutan semula kes 15 April depan.

image is not available

Sementara itu, Azar atau nama penuhnya  Siti Azar Ameerah Azmi, 35, yang ditemui Sinar Harian meminta diberikan ruang.

"Saya minta maaf ya, kalau boleh bagi ruang kepada saya. Insya-ALLAH, kalau ada apa-apa saya beritahu," titipnya.

Pelakon Nur 2 dan Pujaan Hati Kanda itu dilihat  tiba sekitar jam 10 pagi dengan memakai jubah dan tudung hitam ditemani dua remaja dipercayai anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pelakon berkenaan dibebaskan polis sekitar jam 8 pagi pada Rabu. 

"Dia dibebaskan untuk dijadikan saksi pendakwaan bagi kedua-dua kes.

"Saya difahamkan pasangan ini turut disiasat  berhubung kes tipu pelaburan jual lembu di Kuala Lumpur dan masih menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan tertuduh dengan pelakon wanita itu ditahan untuk siasatan berhubung kes penipuan penjualan tanah lot kurnia membabitkan kerugian RM1.5 juta.

Beberapa hari selepas itu, tertuduh turut disiasat berkaitan kes tipu tawaran Datuk sebelum disiasat pula oleh polis Kuala Lumpur berhubung kes tipu pelaburan lembu.

Sumber: Sinar Harian 1, 2