Suami Heliza Helmi didakwa berniaga sekuriti tanpa lesen, mohon dibebaskan bimbang janggut dipotong

LocalPolitics
23 Feb 2026 • 5:58 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

DATUK Mahadi Badrul Zaman yang juga suami kepada penyanyi Datin Heliza Helmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dua pertuduhan menjalankan urus niaga sekuriti tanpa lesen yang sah.

Memetik Sinar Harian, pihak pembelaan ahli perniagaan itu merayu dibebaskan dengan jaminan kerana bimbang janggutnya dipotong andai ditahan di penjara sehingga kesnya selesai didengar.

Peguam, Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus yang mewakili Mahadi berkata demikian ketika sesi rayuan di hadapan Hakim, Azrul Darus dan Norma Ismail.

“Jika jaminan tidak dibenarkan dan Mahadi dipenjarakan, janggutnya yang panjang mungkin akan dipotong, ini akan memberi kesan kepada anak guam.

“Saya mohon mahkamah ambil kira, Mahadi perlu menanggung ibunya yang menghidap kanser dan keluarga mentua,” kata peguam.

Mohd Zamri juga menjelaskan Mahadi telah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sekali gus tidak menunjukkan dia berisiko untuk melarikan diri.

image is not available
Mahadi yang memakai kemeja berwarna hitam hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin (Foto: Sinar Harian)

Pun begitu, pegawai pendakwa Suruhanjaya Sekuriti (SC), Danial Imran Nasaruddin mencadangkan, mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam dan keyakinan pelabur dalam pasaran sekuriti sebelum membenarkan jaminan terhadap tertuduh.

Danial Imran berkata, pendakwaan mencadangkan mahkamah mengenakan jumlah jaminan sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin.

“Ia termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SC sekali setiap bulan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, kedua-dua mahkamah membenarkan Mahadi diikat jamin masing-masing sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Mahadi didakwa sebagai wakil syarikat AUF MBZ Consortium PLT menjalankan berniaga dalam sekuriti sedangkan syarikat itu bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar sebagai perniagaan sekuriti.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah villa, di Sunway South Quay, Subang Jaya antara 14 Jun 2021 dan 15 Februari 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama subseksyen 367(1) akta sama dan boleh dihukum bawah subseksyen 58(4) akta serupa.

Sekiranya disabitkan atas kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau dipenjarakan selama tidak melebihi 10 atau kedua-duanya.

Sumber: Sinar Harian