
KEMAMAN: Seorang pemandu lori dan isterinya cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka merempuh sekumpulan gajah liar di Kilometer 274.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran susur keluar Plaza Tol Cheneh, di sini, malam tadi.
Kejadian pada pukul 10.20 malam itu mengakibatkan Abdul Wahid Ismail yang berusia lingkungan 50-an cedera di tangan kiri manakala isterinya, Fauziah Muda, 52, cedera di bahagian tangan kanan.
Kejadian berlaku ketika pasangan itu sedang dalam perjalanan dari arah Kuantan untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Pasir Gajah, di sini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa Abdul Wahid yang memandu Toyota Estima tidak sempat mengelak kumpulan gajah yang dipercayai mahu melintas jalan.
“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa tidak sempat menekan brek lalu merempuh gajah tersebut. Rempuhan itu mengakibatkan pasangan suami isteri berkenaan mengalami kecederaan,” katanya di sini.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh, Zubaderi Zahari berkata, lapan anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian bertindak mengeluarkan isteri mangsa menggunakan pengusung dan memberi rawatan awal kepada mangsa.
“Kedua-dua mangsa kemudian dibawa pasukan perubatan ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut,” katanya. – UTUSAN
The post Suami isteri cedera tidak sempat elak gajah melintas di LPT2 appeared first on Utusan Malaysia.






