KUALA LUMPUR – Tindakan sepasang suami isteri mencuri arak dan susu tepung bernilai RM252.30 sebelum menjualnya kepada bekas suami wanita itu sebanyak RM65 mengundang padah, apabila mereka dihukum penjara tujuh hari serta didenda RM300 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
T Sugumaran, 38, yang bekerja sebagai mandur dan isterinya, M Vaneesri, 43, suri rumah dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Farah Nabihah Muhamad Dan.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap dan tambahan penjara lima hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mencuri satu karton tin arak dan satu tin susu tepung itu, di sebuah kedai serbaneka, di Jalan Benteng Utara Jinjang, Sentul di sini, jam 8.22 malam pada 26 April.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda bagi kesalahan kali yang kedua atau seterusnya.
Mengikut fakta kes, sehari selepas kejadian, pengurus kedai berkenaan membuat pemeriksaan barang dan menyedari beberapa stok telah berkurangan.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kedua-dua tertuduh mengambil barang berkenaan dan keluar daripada kedai tanpa membuat bayaran.
Berdasarkan rakaman percakapan, Vaneesri mengaku mencuri bersama Sugumaran dan wanita berkenaan menjual barang berkenaan kepada bekas suaminya.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur mencadangkan pasangan itu dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, Sugumaran merayu dikenakan denda yang ringan kerana insaf sementara Vaneesri memberitahu tidak bekerja dan perlu menjaga cucu berusia tiga serta dua tahun.




