Suami Isteri Didakwa Miliki 53 Keping Wang Kertas RM100 Palsu

6 Jul 2022 • 3:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Muammar Raid Abdul Malik, 33, (kiri) dan isterinya Nadia Mohamed Hussain@Brian Michael Lewis, 27, (dua dari kanan) dihadapkan di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan memiliki 53 keping wang kertas RM100 palsu. - Gambar Bernama

BUKIT MERTAJAM - Seorang peniaga dan isterinya yang hamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 53 keping wang kertas RM100 palsu.

Muammar Raid Abdul Malik, 33, dan Nadia Mohamed Hussain @ Brian Michael Lewis, 27, didakwa melakukan perbuatan itu di PMT 30, Mukim 8, Jalan Muthupalaniappan, Sunway Wellesley, Bukit Mertajam  pada  11.30 malam, 29 Jun lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri dua minggu sekali kepada pegawai penyiasat kes.

Mahkamah menetapkan 11 Ogos untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohamad Syarafuddin Mamat Mokhtar. - Bernama