
KOTA BHARU - Pasangan suami isteri dipercayai dalang sindiket pengedaran dadah menggunakan peket kacang gajus diberkas polis selepas kegiatan mereka itu berjaya dihidu dalam satu serbuan di Kuala Krai dan Pasir Puteh awal Jumaat lalu.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kedua-dua suspek berusia 31 dan 49 tahun itu ditahan pada jam 4 petang di Jalan Padang Sembilan, Kuala Krai selepas kenderaan jenis Proton X70 yang dinaiki mereka dikesan dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemukan 110 bungkusan plastik berisi tumbuhan kering dipercayai bunga ganja seberat 60.8 kilogram (kg), ketulan mampat ganja seberat 6.95 kg serta 150 biji pil yaba.
“Keseluruhan dadah berkenaan dianggarkan berjumlah RM2.37 juta,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini, lapor media.
Susulan tangkapan itu, Mohd Yusoff berkata polis menyerbu kediaman pasangan terbabit di Selising, Pasir Puteh pada hari yang sama dan berjaya menemui 22kg ganja mampat bernilai RM775,000.
Turut dirampas dalam serbuan di dua lokasi berkenaan ialah wang tunai, rantai leher dan barang kemas.
Mohd Yusoff berkata siasatan mendapati pasangan itu dipercayai bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak lebih setahun lalu dengan berselindung di sebalik perniagaan sah mereka.
Difahamkan suspek wanita menjalankan perniagaan ayam proses manakala suaminya bekerja sebagai pemandu p-hailing.
“Kita percaya sindiket ini mempunyai rangkaian lain dan bertindak sebagai pembekal utama, termasuk untuk pasaran luar negara memandangkan nilai bunga ganja yang dirampas ini lebih tinggi berbanding daun ganja biasa,” katanya.
Jelasnya, hasil ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan suspek wanita adalah negatif.
"Kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Kedua-dua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.
Sementara itu, Mohd Yusoff berkata polis tidak menolak kemungkinan sindiket dadah yang ditumpaskan baru-baru ini mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa, termasuk dalam kes rampasan 35.4 kg pil yaba pada 27 Jun lalu yang didalangi usahawan salun dan pemilik kedai makan.
Beliau berkata siasatan menyeluruh masih dijalankan dan polis sedang mengesan saki-baki anggota sindiket berkenaan. - 13 Julai, 2025
The post Suami isteri ditahan sorok dadah RM3.1 juta dalam peket kacang gajus appeared first on Scoop.
