Suami isteri ditemukan mati dalam rumah

9 Sep 2022 • 5:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sepasang suami isteri ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Bandar Dataran Segar, Lukut. - Foto hiasan

SEREMBAN - Sepasang suami isteri ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Bandar Dataran Segar, Lukut dekat sini petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 5.15 petang memaklumkan lelaki berusia 61 tahun dan isterinya, 58, itu disyaki tidak sedarkan diri.

"Polis dengan dibantu sepasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Port Dickson kemudian memecahkan mangga hadapan pintu jeriji rumah dan melakukan pemeriksaan di dalam rumah berkenaan. Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Lukut telah mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian.

"Siasatan mendapati mangsa lelaki mempunyai sejarah rawatan darah tinggi manakala isterinya tiada sebarang sejarah rawatan kesihatan. Polis juga tidak menemukan sebarang unsur pelakuan jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai 'mati mengejut’. - Bernama