Suami isteri maut kereta terbabas

1 Sep 2022 • 8:34 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan di Gopeng. - Foto Ihsan Bomba Perak.

image is not available
Kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas mengorbankan pasangan suami isteri di Gopeng.

GOPENG - Sepasang suami isteri maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 292.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar jam 12 tengah malam itu, mangsa Tsia Kwai Weng, 61 dan isterinya, Hooi Lai Kwean, 53, meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami mereka.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamed Nazri Daud berkata, laporan awal kemalangan diterima melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

"Pemandu mengalami cedera parah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Penumpang kereta pula telah disahkan maut di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat," katanya di sini pada Khamis.

Menurutnya, mangsa pertama kemudiannya dilaporkan meninggal dunia pada jam 5.40 pagi semasa menerima rawatan di HRPB.

"Mayat dibawa ke Jabatan Forensik HRPB. Bedah siasat kedua-kedua mangsa akan dijalankan pagi ini.

"Punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.