Suami, isteri orang ditahan berduaan dalam gelap

5 Jan 2023 • 3:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pasangan kekasih yang telah berkahwin ditahan ketika berdua-duaan dalam kenderaan di Lebuh Ayer Keroh di sini, pada malam Rabu.

MELAKA - Seorang lelaki yang telah berkahwin ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika berdua-duaan dengan seorang wanita dalam sebuah kenderaan ketika Op Perahu Darat (Opeda), di Lebuh Ayer Keroh di sini, pada malam Rabu.

Pengarahnya Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pasangan kekasih berusia 30-an dan 40-an itu ditahan lebih kurang jam 10.40 malam di tempat gelap.

Menurutnya, ketika ditahan wanita yang juga berstatus isteri orang dan berasal dari negeri ini memberi alasan kenderaannya rosak lalu menggunakan perkhidmatan e-hailing lelaki tersebut.

"Namun mereka gagal menunjukkan sebarang bukti tempahan seperti yang diberitahu.

"Hasil soal siasat yang dilakukan akhirnya mereka mengaku mengenali antara satu sama lain dan masing-masing telah berkahwin," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Jelas beliau, pasangan itu antara enam individu yang ditahan dalam operasi bersepadu bersama polis bermula jam 10 malam hingga 3 pagi.

Tambahnya, penguat kuasa turut menahan seorang wanita yang sedang asyik bersandar di badan kekasihnya di tepi Pantai Klebang.

"Kedua-dua mereka berusia 20-an itu memberikan alasan hanya melepak bersama selepas pulang dari kerja.

"Kesemua mereka kemudian ditahan dan dibawa ke pejabat JAIM bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 53 dan 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991," katanya.