
PONTIAN – Kegiatan jenayah sepasang suami isteri warga Indonesia akhirnya terbongkar apabila mereka ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan manusia serta pengedaran dadah di Kampung Parit Yassin, Benut, tengah hari semalam.
Pasangan berusia 32 dan 35 tahun itu diberkas kira-kira pukul 1.20 tengah hari menerusi Ops Pintas Tapis Bersepadu yang dijalankan pihak polis di kawasan berkenaan.
Menurut laporan Kosmo!, hasil soal siasat awal mendapati lelaki tersebut dipercayai berperanan sebagai ‘tekong darat’ yang menguruskan pergerakan pendatang tanpa izin, manakala isterinya pula aktif sebagai pengedar dadah sejak tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua-duanya mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Lelaki berkenaan akan ditahan di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA), manakala isterinya disiasat mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes kini dalam siasatan lanjut dan pihak polis tidak menolak kemungkinan terdapat rangkaian atau individu lain yang turut terlibat dalam kegiatan berkenaan. – The Malaysian Update
The post Suami Isteri Warga Indonesia Dicekup, Disyaki Tekong Darat Dan Edar Dadah Di Pontian appeared first on The Malaysian Update.


