PETALING JAYA – "Kami hilang tempat bergantung..."
Itu luahan penuh pilu seorang wanita selepas kehilangan suaminya dalam nahas membabitkan sebuah motosikal dan treler di Kilometer 3.8 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), baru-baru ini.
Mangsa, Afiq Safwan Sabri yang merupakan jururawat di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) Universiti Teknologi Mara (UiTM), meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan.
ARTIKEL BERKAITAN: Jururawat maut langgar treler rosak di lorong kecemasan
**media[3524946]**
Isterinya, Natasha Zainal menerusi akaun Threads berkongsi rasa sedih apabila terkenangkan pesanan terakhir yang sempat diberikan kepada arwah pada pagi kejadian supaya menggunakan kereta untuk ke tempat kerja.
Menurut wanita itu, suaminya sering berjanji akan pulang ke rumah selepas tamat bekerja, namun kali ini dia sendiri yang menjemput jenazah arwah sebelum menghantarnya ke tempat persemadian terakhir.
"Hari-hari dia cakap masa di tempat kerja, nanti 'bie' balik ya sayang. Sayang tunggu 'bie' di rumah tau. Tapi jumaat hari tu sayang jemput 'bie' balik dari tempat kerja dan sayang hantar 'bie' balik negeri abadi. Kali ini 'bie' pula tunggu sayang di syurga tau," kata Natasha di akaun Threads.
Dalam beberapa hantaran lain, Natasha turut memuat naik gambar suasana pengebumian arwah yang juga bapa kepada tiga cahaya mata mereka.
**media[3524947]**
Terdahulu, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 7 pagi itu mengorbankan mangsa di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan awal mendapati treler tanpa muatan tersebut berhenti di lorong kecemasan selepas mengalami tayar pecah ketika dalam perjalanan dari Seafield ke Bukit Jelutong.
**media[3524960]**
Beliau berkata, mangsa yang menunggang motosikal dari arah sama dipercayai gagal mengelak sebelum melanggar bahagian belakang kanan treler berkenaan.
Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
