Suami maut, isteri parah kereta rempuh pembahagi jalan

1 Apr 2026 • 4:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terbalik.

SABAK BERNAM - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbalik dalam kemalangan di Kampung Belia 2, Sungai Panjang, di sini, pada Rabu.

Mangsa berusia lingkungan 30-an maut selepas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, manakala isterinya cedera parah dan anak perempuan mereka yang masih kecil mengalami kecederaan ringan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.25 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.

"Sebaik tiba pada jam 1.53 tengah hari, didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipercayai terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbalik.

"Terdapat tiga mangsa terlibat, seorang lelaki tersepit di bahagian pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, seorang wanita berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan parah dan telah diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut.

"Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun pula mengalami kecederaan ringan dan turut dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, dua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba, manakala mangsa lelaki yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba pada jam 3.03 petang.

"Mangsa yang maut kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.