
ALOR GAJAH – Seorang wanita merayu penternak lembu supaya lebih bertanggungjawab memastikan ternakan tidak berkeliaran di jalan raya selepas suaminya kini hanya terlantar akibat melanggar haiwan itu pada 12 Julai lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu, mangsa, Mohd. Haffis Abdullah Saidi, 32, mengalami kecederaan pada tulang belakang selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu yang tiba-tiba melintas di Kampung Pulau di sini.
Isterinya, Juriana Mohamed Yoonus, 31, berkata, nahas berlaku ketika dia dan suaminya dalam perjalanan keluar berniaga menaiki kenderaan berasingan bagi menguruskan perniagaan kedai makan yang diusahakan bersama.
“Saya bawa kereta manakala suami menunggang motosikal yang lazim digunakan untuk menghantar pesanan makanan kepada pelanggan. Ketika itu terdapat kira-kira lima ekor lembu berkeliaran di tepi jalan dan mungkin disebabkan terkejut dengan cahaya lampu kenderaan, seekor daripadanya tiba-tiba melintas jalan menyebabkan suami tidak sempat mengelak lalu melanggarnya,” katanya ketika ditemui di kedai makannya di Durian Tunggal di sini.
Juriana berkata, suaminya menerima 48 jahitan pada tangan kiri dan dagu sebelum keadaan kesihatannya merosot apabila tidak lagi mampu bergerak.
“Hasil imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) mendapati suami mengalami kecederaan pada tulang belakang serta pembengkakan saraf sehingga menyebabkan kedua-dua belah kakinya tidak dapat digerakkan. Dia hanya terlantar di katil dan terpaksa memakai lampin pakai buang kerana tidak lagi mampu menguruskan diri sendiri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Suami patah tulang angkara lembu melintas appeared first on Kosmo Digital.
