Suami Selalu Terima Ugutan Bunuh, Saya & Anak Trauma – Isteri Cikgu Chandra

LocalPolitics
11 Mar 2026 • 9:55 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Baru-baru ini kecoh di media sosial, apabila kenderaan dan rumah milik aktivis, Cikgu Chandra di Puchong telah diserang sehingga menyebabkan cermin kereta dan tingkap kediamannya pecah.

Menurut Cikgu Chandra atau nama penuhnya S. Chandrasegaran, 47, dia pada ketika itu berada di rumah bersama dua orang anaknya sebelum menyedari dua individu lelaki yang tidak dikenali bertindak membuka pagar rumahnya.

Lelaki terbabit dilihat memakai topeng berwarna hitam serta membawa senjata parang kemudian bertindak memecahkan cermin kenderaan Perodua Viva Cikgu Chandra serta merosakkan jeriji besi hadapan rumah.

image is not available
Sumber: Pendakwah bebas, Firdaus Wong

Baca Artikel Berkaitan: 3 Kereta Milik Cikgu Chandra Dibakar, Rakaman Insiden Turut Tular Di Media Sosial [Video]

Lari Sembunyi Dalam Bilik Kerana Trauma

Menurut isteri Cikgu Chandra, mereka berasa takut selepas mendengar kekecohan berlaku di rumah pada kelmarin, 9 Mac jam 3.30 petang.

Pada 10 Mac pula, geng samseng berkenaan telah bertindak membakar kesemua kereta miliknya.

“Saya dan anak ketika itu sedang tidur sementara suami berjaga di ruang tamu sebelum terdengar bunyi kecoh di luar. Kami yang trauma terus lari bersembunyi di dalam bilik,” katanya, lapor Berita Harian.

3 Kereta Dibakar, 1 Daripadanya Musnah 100%

Dia kemudiannya keluar dari rumah selepas dipanggil jiran yang memberitahu kereta mereka terbakar.

“Kereta Proton Ertiga milik saya musnah 100% akibat terbakar manakala Perodua Viva dan sebuah lagi Perodua Bezza turut rosak akibat kebakaran itu,” katanya.

Difahamkan, Proton Ertiga itu digunakan sebagai kenderaan e-hailing, namun rosak sepenuhnya.

“Kejadian sebelah petang itu (9 Mac) pula saya tiada di rumah kerana bekerja, cuma ada anak dan suami di mana individu terbabit yang menaiki Nissan Almera terus masuk ke kawasan rumah dan membakar kereta Perodua Viva,” jelasnya.

Anak Trauma, Dedah Cikgu Chandra Sering Terima Ugutan

Susulan kejadian tersebut, anaknya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikatakan mengalami trauma.

“Suami juga sebelum ini sering menerima panggilan ugutan ingin membunuhnya,” tambahnya.

6 Geng Samseng Dilihat Di Dalam Kereta Luar Rumah Cikgu Chandra

Berbicara lebih lanjut mengenai kejadian itu, Cikgu Chandra berkata suspek telah mencampak bom petrol jenis molotov cocktail ke rumahnya.

“Apabila menyedari kedatangan mereka, saya terus menutup pintu hadapan rumah dan mereka masih mengetuk pintu hampir tiga minit.

“Kejadian tidak terhenti di situ apabila sekumpulan individu dipercayai datang semula ke rumah kira-kira jam 3.20 pagi tadi (10 Mac) sebelum mencampakkan objek dipercayai bom petrol (molotov cocktail),” jelasnya.

Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kira-kira enam individu menaiki dua kenderaan dipercayai berada di luar rumah ketika kejadian berlaku.

Mengulas lanjut, Cikgu Chandra memaklumkan bahawa kawalan keselamatan di sekitar rumahnya kini diperketatkan, namun insiden tersebut masih meninggalkan trauma kepada dia dan keluarganya.

“Saya harap pihak berkuasa bertindak tegas dan tidak melindungi mana-mana pihak memandangkan kes gangsterisme dilihat semakin berani serta menjadi-jadi,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, polis membuka dua kertas siasatan berhubung insiden khianat serta ugutan jenayah membabitkan Cikgu Chandra yang berlaku di kawasan perumahan Taman Kinrara, Puchong semalam.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan mendakwa terdapat individu yang bertindak sebagai ‘ejen’ pencetus provokasi agama dan perkauman. Tegasnya, perkara itu akan dibincangkan hari ini (11 Mac) di Mesyuarat Kabinet.