Suami ‘Tamatkan’ Nyawa Isteri Hamil Lima Bulan, Tanam Mayat Di Belakang Rumah

5 Aug 2024 • 2:14 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang wanita yang dilaporkan hilang lebih kurang tujuh bulan lalu akhirnya ditemui dibunuh susulan penemuan kubur miliknya di belakang rumah bekas suaminya di Kampung Ciburial, Jawa Barat, Indonesia.

Memetik laporan tvonenews, wanita yang bernama Irma Novitasari yang juga hamil lima bulan itu telah dibunuh oleh bekas suaminya sebelum dikubur di belakang rumah.

Suami bunuh dan tanam mayat isteri hamil lima bulan

image is not available

Menurut keluarga Irma, mereka tidak dapat menghubungi wanita tersebut sejak enam bulan lalu, bermula Januari hingga Julai tahun ini.

Keluarga Irma juga sempat bertanya kepada bekas suami wanita tersebut namun lelaki berkenaan memberikan pelbagai alasan seperti sedang sibuk bekerja.

Namun begitu, seorang penduduk kampung akhirnya mendedahkan pembunuhan tersebut kepada keluarga wanita berkenaan pada 28 Julai lalu.

Menurut penduduk kampung itu, Irma dibunuh oleh bekas suami dan dibantu oleh beberapa orang rakannya sebelum melarikan diri ke Bogor.

Berdasarkan maklumat tersebut, keluarga Irma melaporkan perkara berkenaan kepada pihak polis sebelum mereka menemui kubur wanita berkenaan.

Sementara itu, bapa saudara Irma Novitasari, Ade Mumung mengesahkan anak saudaranya itu sememangnya sedang mengandung.

image is not available

“Betul, maklumat itu betul. Forensik juga boleh periksa sama ada dia benar-benar mengandung ataupun tidak. Kalau betul mengandung, maksudnya dia ambil dua nyawa.

“Usia kandungan juga antara lima atau enam bulan,” katanya.

Dalam pada itu, bapa saudaranya juga berharap agar pembunuh Irma diberikan hukuman yang berat seperti hukuman mati.

“Harapan saya, pembunuh diberi hukuman yang berat kerana nyawa dibayar dengan nyawa,” ujarnya.

Menurut laporan, kejadian tersebut sebenarnya berlaku sekitar awal tahun ini, namun pelakunya telah merancang pembunuhan berkenaan sejak Disember 2023.

Menurut salah seorang saksi, bekas suami Irma pernah meminta bantuan daripadanya untuk membunuh wanita berkenaan pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, saksi tersebut menolak ajakan berkenaan, maka gagallah rancangan bekas suami Irma untuk membunuh wanita berkenaan pada Disember lalu.

image is not available

Dalam pada itu, pihak polis telah menangkap tiga lagi suspek lain yang menjadi rakan subahat dalam pembunuhan Irma yang mana masing-masing mempunyai peranan iaitu memegang kaki, menutup mulut dan menggali kubur sementara si suami membunuhnya.

Sumber: tvonenews