
Suami Wanita Yang Maut Tercampak Dari Van Ditahan
KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) — Polis menahan suami kepada wanita yang maut dipercayai tercampak dari sebuah van di Lebuhraya Shah Alam (KESAS), berhampiran hentian Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar menghala ke Petaling Jaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan berkata lelaki berusia 50 tahun itu, ditahan kira-kira 6 petang semalam di sekitar bandar Kinrara, di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan kematian dengan cuai.
“Berdasar siasatan awal, suspek mengaku berlaku pertengkaran mulut dengan isteri (mangsa) ketika dalam perjalanan balik ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aidil berkata pasangan itu telah berkahwin selama 20 tahun dan mempunyai dua orang anak.
“Ujian air kencing pada suspek menunjukkan keputusan positif bagi dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzodiazepine, selain mempunyai satu rekod jenayah dan dua rekod berkaitan dadah,” katanya.
Suspek juga mendakwa mangsa turut terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis meth.
Aidil berkata siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan mendapatkan keterangan lanjut daripada saksi-saksi berkenaan.
Sumber: BERNAMA
The post Suami Wanita Yang Maut Tercampak Dari Van Ditahan appeared first on Siakap Keli.

