
SEBUTIR benih mungkin kelihatan kecil, namun di sebaliknya tersimpan perjalanan panjang sebelum menjadi hasil yang dinikmati bersama.
Gagasan itu diterjemahkan menerusi Lunar Harvest, instalasi seni sempena sambutan Pesta Kuih Bulan hasil kolaborasi Kwai Chai Hong bersama Zus Coffee.
Karya dikonseptualisasikan oleh DONCE Fine Floristry di Lorong Panggung, Kuala Lumpur itu menggunakan bahasa visual yang dekat dengan kehidupan masyarakat.
Ini termasuk guni beras, tekstur anyaman pada tudung salji, elemen botani dan pencahayaan untuk menggambarkan suasana musim menuai.
Selain itu, Harvest Pavilion juga dibina bagi mengambil inspirasi daripada kilang padi tradisional.
Menariknya, malai padi kering sebenar dari Sekinchan, Selangor turut digunakan dalam instalasi itu bagi memberikan sentuhan realistik kepada gambaran suasana musim menuai di tengah-tengah kota raya.
Bagi memastikan padi kekal dalam keadaan baik sepanjang tempoh pameran, pasukan artis terlebih dahulu mengeringkannya menggunakan kaedah ‘air dry’ supaya tahan lebih lama.
Pameran seni tersebut dibuka kepada orang ramai pada setiap hari dari pukul 9 pagi hingga tengah malam sehingga 4 Oktober depan.
Pengasas bersama Kwai Chai Hong, Zeen Chang berkata, instalasi tersebut diinspirasikan daripada pesanan tentang menghargai dan mensyukuri makanan yang popular dalam budaya Malaysia.
“Peribahasa Cina, li li jie xin ku yang menggambarkan usaha di sebalik setiap butir beras, serta ungkapan Melayu ‘kalau tak habis makan, nanti nasi menangis’ membawa mesej sama.
“Walaupun berbeza bahasa dan asal usul, namun kedua-duanya menggalakkan kanak-kanak menghargai makanan serta usaha yang diperlukan untuk menghasilkannya.
“Setiap butir beras bermula daripada sebutir benih yang bergantung kepada tanah subur, cuaca baik dan tenaga ramai pihak sebelum sampai ke meja makan,” katanya kepada CitaRasa.

guni beras mengangkat elemen pertanian dalam instalasi seni Lunar Harvest.
Selain beras, karya tersebut turut memperkenalkan kopi sebagai sebahagian daripada naratif tuaian yang lebih dekat dalam konteks Malaysia.
Kegiatan pertanian tempatan tidak terhad kepada tanaman makanan kerana petani turut mengusahakan tanaman kontan seperti kopi sebagai sumber pendapatan tambahan.
Perkembangan tersebut turut menyumbang kepada pembentukan budaya kopitiam yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat.
Sama seperti beras, kopi turut melalui proses penanaman, penuaian, pemilihan dan pemanggangan sebelum menjadi minuman.
Oleh itu, satu instalasi yang meniru kopitiam turut dibina, di mana pengunjung boleh duduk dan bergambar seolah-olah berada di kedai kopi.
Kongsi Chang, biarpun pertanian sering dikaitkan dengan warna bumi yang natural dan sederhana, namun pihak artis menambah elemen meriah menerusi penggunaan rona terang pada guni beras bagi melambangkan sambutan Pesta Kuih Bulan.
“Warna-warna meriah seperti jingga, merah jambu, kuning, hijau dan biru memberikan sentuhan ceria pada instalasi, selari dengan suasana sambutan Pesta Kuih Bulan.
“Selain itu, terdapat banyak elemen grafik yang diselitkan pada guni bagi memperkaya rekaan dan memberikan dimensi berbeza pada karya,” katanya.
The post Suasana kilang padi tradisional di tengah kota appeared first on Kosmo Online.
