Subang catat suhu ketiga tertinggi negara, cecah 35.2 darjah Celsius

LocalEnvironment
4 Aug 2026 • 9:56 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Subang catat suhu ketiga tertinggi negara, cecah 35.2 darjah Celsius

SHAH ALAM, 4 OGOS: Stesen Meteorologi Subang merekodkan suhu maksimum 35.2 darjah Celsius semalam, antara bacaan tertinggi di negara ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Berdasarkan laporan taburan hujan dan suhu maksimum harian, suhu di Subang merupakan bacaan ketiga tertinggi di Malaysia selepas Kuala Krai, Kelantan (35.7 darjah Celsius) dan Temerloh, Pahang (35.3 darjah Celsius), serta mengatasi Sandakan, Sabah (35.1 darjah Celsius).

Bagi taburan hujan di Selangor, Stesen Meteorologi Subang merekodkan 3.0 milimeter (mm) hujan, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan 4.0mm.

Secara keseluruhan, purata suhu maksimum harian di Malaysia berada pada 33.3 darjah Celsius, manakala Ranau, Sabah merekodkan jumlah hujan tertinggi negara dengan 50.6mm, diikuti Bintulu (32.2mm) dan Limbang (27.4mm) di Sarawak.

MET Malaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang dan media sosial rasmi jabatan itu bagi merancang aktiviti harian dengan lebih selamat.

Sebagai rekod, fenomena Super El Nino diramal bermula November ini dan berpotensi meningkatkan risiko cuaca panas, pengurangan hujan serta kejadian jerebu di Malaysia terutama selepas berakhirnya Monsun Timur Laut tahun hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Ambun Dindang sebelum ini berkata, jangkaan berkenaan berdasarkan data pemantauan National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) menerusi Climate Prediction Center (CPC).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved