Subsidi bukan keistimewaan, tetapi mekanisme imbang tampung perbezaaan - Bekas KM Sabah

LocalPolitics
27 Mar 2026 • 10:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Salleh Said Keruak

KOTA KINABALU - Subsidi yang diberikan kepada Sabah bukan keistimewaan, sebaliknya ia merupakan mekanisme imbangan untuk menampung perbezaan struktur antara wilayah di negara ini.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, jurang harga diesel antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak sering dijadikan isu di media sosial tanpa konteks yang tepat.

Beliau yang juga Bendahari UMNO Sabah berkata, Malaysia dibentuk sebagai satu perkongsian dan bukan sekadar gabungan negeri biasa, sekali gus memerlukan pendekatan dasar yang mengambil kira kedudukan Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, faktor kos dan geografi di Sabah dan Sarawak menjadikan struktur perbelanjaan lebih tinggi berbanding Semenanjung, khususnya melibatkan logistik dan pengedaran.

"Jurang harga diesel antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak sering dijadikan isu di media sosial oleh pihak tertentu. Tanpa konteks yang betul, ia mudah mencetuskan persepsi tidak adil.

"Malaysia dibentuk pada tahun 1963 sebagai satu perkongsian. Sabah dan Sarawak bukan negeri biasa. Kedudukan ini diiktiraf di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan. Dasar perlu mencerminkan asas ini," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Katanya lagi, kos di Sabah dan Sarawak secara semula jadi lebih tinggi berikutan kebergantungan kepada pengangkutan jarak jauh serta rantaian bekalan yang lebih kompleks.

"Kos di Sabah dan Sarawak secara semula jadi lebih tinggi. Logistik bergantung kepada pengangkutan jarak jauh termasuk jalan darat dan laut. Rantaian bekalan lebih kompleks dan mahal, khususnya di kawasan luar bandar.

"Faktor geografi menambah cabaran. Kawasan luas, penduduk berselerak dan infrastruktur terhad meningkatkan kos pengedaran. Kesan kenaikan bahan api lebih cepat dirasai rakyat," jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak memainkan peranan penting sebagai penyumbang kepada sumber asli negara.

"Pada masa sama, Sabah dan Sarawak menyumbang besar kepada sumber asli negara. Ini perlu diambil kira dalam pembentukan dasar.

"Oleh itu, subsidi bukan keistimewaan, tetapi mekanisme imbangan untuk menampung perbezaan struktur ini," tegasnya.

Menurutnya, isu sebenar yang timbul adalah berkaitan persepsi yang tidak tepat sekiranya perkara itu tidak dijelaskan dengan baik kepada rakyat.

"Isu sebenar ialah persepsi. Tanpa penjelasan yang jelas, perbezaan dasar mudah dimanipulasi dan disalah tafsir.

"Keadilan bukan bermaksud layanan sama, tetapi dasar yang mengambil kira realiti, sejarah dan peranan setiap wilayah dalam Persekutuan," ujarnya.

Sebelum itu, kerajaan mengambil keputusan untuk mengekalkan harga diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak, namun menghadkan had pengisian diesel berdasarkan jenis kenderaan pengguna.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan bekalan diesel mencukupi selain membolehkan pengagihan yang lebih adil kepada semua pihak.

View Original Article