KOTA KINABALU - Krisis tenaga global yang berlanjutan berpotensi memberi kesan kepada ekonomi negeri, termasuk kemungkinan semakan semula subsidi diesel sekiranya situasi semasa terus berpanjangan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, impak tersebut bergantung kepada perkembangan konflik global, khususnya jika melibatkan negara pengeluar tenaga seperti Iran.
Menurut beliau, sekiranya krisis tenaga dan peperangan berterusan, ia bukan sahaja memberi tekanan kepada pasaran tenaga dunia, malah turut memberi kesan kepada ekonomi negeri Sabah.
"Kalau dikekalkan (subsidi), baguslah. Namun kesannya, jika krisis tenaga ini berlanjutan, sudah tentu subsidi diesel ini mungkin akan dikaji semula sekiranya krisis tenaga atau peperangan di Iran berpanjangan.
"Jadi kita pantau, tengok macam mana," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Sabah dan Institut Jantung Negara (IJN) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai impak terhadap ekonomi negeri sekiranya konflik Asia Barat berterusan dan menyebabkan krisis tenaga di peringkat global ketika ini.
Ketika ini, rakyat Sabah dan Sarawak masih menikmati diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter dengan penggunaan terkawal, manakala harga diesel di Semenanjung telah melepasi RM6 seliter.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai program yang dihadirinya, beliau menyifatkan kerjasama tersebut sebagai satu inisiatif yang amat baik antara Kumpulan Yayasan Sabah dan IJN Sdn Bhd.
"Ini adalah satu kerjasama yang cukup baik antara Kumpulan Yayasan Sabah dan IJN Sdn Bhd.
"Sesuatu yang kita harapkan akan menjadi kenyataan, sekali gus menambah lagi pusat kesihatan jantung kita di Sabah," katanya.

