Subsidi elektrik Sabah perlu diteruskan hingga bekalan stabil – Armizan

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 4:54 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Subsidi elektrik Sabah perlu diteruskan hingga bekalan stabil – Armizan

PETALING JAYA – Kerajaan Persekutuan diharap terus menyalurkan subsidi elektrik kepada Sabah sehingga proses transformasi bekalan tenaga di negeri itu benar-benar mencapai tahap stabil dan mampan.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pertimbangan pemberian subsidi itu perlu mengambil kira isu legasi bekalan elektrik yang diwarisi kerajaan negeri selepas kuasa kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu dipindahkan daripada Kerajaan Persekutuan pada 2024.

Katanya, kuasa kawal selia elektrik dan tenaga Sabah sebelum itu berada di bawah Kerajaan Persekutuan sejak 1984, manakala syarikat penyedia perkhidmatan utiliti elektrik negeri masih diterajui entiti persekutuan.

“Komitmen Kerajaan Persekutuan yang sehingga kini menyalurkan subsidi elektrik tahunan bagi Sabah amat dihargai dan banyak membantu menanggung kos operasi pembekalan elektrik.

“Diharapkan komitmen ini diteruskan sehingga proses transformasi penstabilan bekalan elektrik di Sabah dapat dicapai yang memerlukan tempoh kematangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, pertimbangan itu juga perlu mengambil kira sumbangan signifikan Sabah dalam aspek pemuliharaan alam sekitar termasuk komitmen negeri berkenaan untuk tidak menggunakan arang batu bagi penjanaan tenaga elektrik.

Menurutnya, Sabah turut menjadi antara penyumbang terbesar sebagai penampan karbon menerusi pengekalan litupan hutan yang merangkumi kira-kira 63 peratus daripada keluasan negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata, jidar simpanan penjanaan elektrik Sabah meningkat daripada lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos lalu dan disasarkan mencapai 26 peratus menjelang akhir tahun ini.

Katanya, tempoh purata gangguan bekalan elektrik tahunan yang diukur melalui Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) turut menunjukkan penurunan dari tahun ke tahun.

Terdahulu, Armizan merasmikan pengoperasian Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Benoni 33/11kV yang dibangunkan bagi memperkukuh sistem pengagihan elektrik di daerah Papar.

PPU itu turut menyediakan bekalan sandaran kepada Pencawang Masuk Utama (PMU) Papar dan PPU Kimanis, sekali gus meningkatkan daya tahan sistem ketika kerja penyelenggaraan atau berlaku gangguan tidak dirancang.

Sejak 2023 hingga Ogos lalu, Sabah Electricity Sdn. Bhd. turut membina 16 pencawang elektrik baharu di Parlimen Papar sebagai sebahagian usaha menstabilkan bekalan elektrik termasuk menangani masalah kesusutan voltan yang berlarutan di beberapa lokaliti. – KOSMO! ONLINE

The post Subsidi elektrik Sabah perlu diteruskan hingga bekalan stabil – Armizan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved