
Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited memastikan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi terus memberi manfaat kepada peniaga makanan dan minuman (F&B) mikro serta kecil.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2021 sedang dicadangkan bagi mengiktiraf secara rasmi keperluan pengusaha F&B mikro dan kecil yang banyak bergantung kepada LPG untuk menjalankan operasi harian mereka.
“Peniaga makanan dan minuman tidak perlu bimbang. Selagi mereka menawarkan makanan dan perkhidmatan pada harga berpatutan, mereka akan terus menikmati subsidi LPG,” katanya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Isnin.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Di bawah PPKB 2021 yang sedia ada, sebarang penggunaan LPG untuk tujuan komersial melebihi 42kg memerlukan permit barangan kawalan, sekali gus mengehadkan akses LPG bersubsidi untuk perniagaan kecil.
Pindaan baharu itu bertujuan untuk melonggarkan sekatan ini dan mencerminkan realiti operasi sebenar peniaga.
“Dalam amalan, banyak kedai makan menggunakan lebih 42kg pada satu masa — ada yang guna lima tong sekaligus dan turut menyimpan stok tambahan.
Kerajaan faham perkara ini dan bersedia membenarkan penggunaan melebihi had sedia ada, tetapi kita perlu laksanakan mekanisme kawalan yang betul bagi mengelakkan penyelewengan,” kata Armizan.
Tegasnya, walaupun pengguna domestik dan pengusaha F&B kecil akan terus layak menerima subsidi, kerajaan tidak mampu membiarkan LPG bersubsidi disalah guna.
“Kita bukan mahu subsidi gaya hidup. Kita mahu bantu ringankan kos sara hidup rakyat,” katanya sambil memberi contoh ada premis yang mengenakan caj RM30 untuk nasi goreng atau RM25 untuk nasi ayam. “Itu bukan harga rakyat. Itu harga gaya hidup.”
Armizan turut mendedahkan bahawa kerajaan membelanjakan RM3.4 bilion untuk subsidi LPG tahun lalu sahaja, jumlah yang disifatkannya besar dan bersamaan dengan kos membina 35 sekolah baharu.
“Adakah wajar wang sebanyak ini digunakan secara sewenang-wenangnya? Orang ramai perlu tahu bahawa ini bukan jumlah yang kecil,” katanya.
Bagi memastikan pelaksanaan yang adil, Armizan berkata Kementerian akan mendapatkan maklum balas daripada pihak industri serta kementerian berkaitan lain seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KKDW) sebelum memuktamadkan pindaan peraturan terbabit.
Sebuah jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian turut dibentuk bagi menentukan dan memantau paras harga “harga rakyat” serta merangka mekanisme kawalan subsidi yang telus.
“Subsidi LPG mesti disasarkan, dikawal dan dilindungi. Keutamaan kita adalah untuk melindungi rakyat, bukan untuk mensubsidi margin keuntungan atau gaya hidup mewah,” kata Armizan.
Pemegang taruh yang tidak dapat menghadiri sesi libat urus digalakkan mengemukakan cadangan dan memorandum mereka sebelum Ops Gasak tamat pada 31 Oktober 2025.

