Subsidi Punca Petani Miskin? Ramai Dakwa Orang Tengah Jadi Penyebab

26 Jun 2022 • 5:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Golongan petani perlu diberikan kesedaran mengenai kesan buruk menggunakan rangkaian orang tengah. - Gambar oleh Alif Omar

KUALA LUMPUR - Kemiskinan golongan petani yang didakwa berpunca daripada subsidi diperkenalkan kerajaan hangat diperkatakan di media sosial baru-baru ini, khususnya apabila kerajaan ketika itu sedang berura-ura mahu menghentikan bantuan berkenaan.

Ia timbul selepas dibangkitkan seorang ahli akademik, yang memberi reaksi kepada ikrar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menangani masalah berkaitan keselamatan makanan. 

Dalam ciapan di Twitter itu, Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad berkata, 90 peratus daripada pesawah dan pekebun sayuran berada dalam keadaan miskin kerana keputusan dasar untuk memastikan makanan terus disubsidi dan murah. 

Membalas ciapan tersebut, pemilik akaun dikenali sebagai Sayyed Alif Khan berkata, mentaliti subsidi perlu dibuang dan pasaran bebas perlu dibuka.

"Buang mentaliti subsidi dan buka pasaran bebas. Tanpa daya saing tiada apa yang akan menjadi lebih baik," katanya.

Ada juga netizen yang menuding jari kepada golongan orang tengah kerana didakwa menyebabkan keadaan tersebut berlaku.

"Ini sentiasa (berpunca daripada) orang tengah. Beras basmathi yang berkualiti lebih murah di wilayah United Kingdom (UK), rantau Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) berbanding di Malaysia, bagaimana?" soal @gumbyrn.

Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad yang turut mengulang ciap pula berkata, perkara itu adalah apa yang disebut sebagai akibat tidak diingini (unintended consequence) dalam ekonomi.

"Sama juga seperti gaji dan upah, bila kita secara ‘artificial’ menjadikan harga barang ‘murah’ (konon inflasi kita rendah)," katanya.

Seorang lagi netizen, Fatimah Ferdaus berkata, dia bersetuju dengan kenyataan ahli akademik tersebut dan menambah, perkara sama terus berlaku meskipun negara telah mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun.

"Betul sangat-sangat tapi dah 60 tahun merdeka cerita benda yang sama! Pusing-pusing tang tu lah (di situ) juga," katanya.

Seorang lagi pemilik akaun dikenali sebagai @fizah_alias pula berkata, kemiskinan adalah tanda kegagalan dasar. - Getaran, 26 Jun 2022