Subsidi RM1,000 beli motor ringan beban pekerja p-hailing

25 Dec 2022 • 8:30 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 25 DIS: Peserta program Bantuan Bike Care-1,000 bersyukur menerima subsidi RM1,000 daripada Kerajaan Negeri untuk membeli motosikal.

Khairul Anuar Ayub, 31, berkata sebelum ini beliau terpaksa meminjam motosikal adik-beradiknya untuk terlibat dalam sektor pekerja gig (p-hailing).

“Saya mula kerja ini sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) selepas dibuang kerja sebelum ini dan hanya menggunakan motosikal adik-beradik.

“Kemudian ada rakan saya berkongsi di WhatsApps mengenai program ini dan saya cuba mohon Alhamdulillah diterima, cara permohonan pun mudah,” katanya.

image is not available
Khairul Anuar Ayub, 31. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Khairul Anuar antara 100 penerima subsidi RM1,000 daripada Kerajaan Selangor bagi program Bantuan Bike Care-1,000 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Selain itu, penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Muhammad Aiman Norhanis, 22, berkata beliau berkecimpung dalam sektor p-hailing untuk mencari pendapatan tambahan.

“Sebelum ini saya pinjam motosikal ayah, Alhamdulillah sekarang sudah boleh beli motor sendiri hasil pendapatan setahun lebih buat p-hailing.

“RM1,000 bagi segelintir orang mungkin sedikit tapi bagi saya banyak dan dapat kurangkan beban bayaran bulanan, terima kasih Kerajaan Selangor,” katanya.

image is not available
Muhammad Aiman Norhanis, 22. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Ng Chee Kuang, 27, berkata beliau baharu mahu berkecimpung dalam sektor p-hailing sebagai tambahan pendapatan memandangkan kos sara hidup tinggi ketika ini.

“Sekarang saya bekerja sebagai ejen jualan dan memang satu pendapatan sahaja tidak cukup, subsidi ini dapat juga bantu beli motosikal,” katanya.

image is not available
Ng Chee Kuang, 27. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau melancarkan Bike Care-1,000 iaitu pemberian subsidi RM1,000 kepada 100 individu yang mahu atau sedang berkhidmat dalam sektor p-hailing.

image is not available
Paus Ruba’di bersama keluarga berswafoto dengan motosikal yang diterima pada majlis perasmian program Bikecare-1000 anjuran Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) di Shah Alam pada 24 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI