Subsidi RM15 juta teruskan jualan murah, manfaat 800,000 penduduk

13 Dec 2022 • 8:15 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 13 DIS: Jelajah Ehsan Rakyat (JER) 2.0 diteruskan lagi selama tiga bulan mulai 15 Januari depan yang menawarkan lebih banyak produk.

Dato’ Menteri Besar berkata jualan murah barangan asas dengan anggaran peruntukan sehingga RM15 juta itu menyasarkan 800,000 penduduk.

“Program ini mendapat kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Ia turut disertai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Koperasi Warga Hijrah Selangor (KoHijrah),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis Apresiasi JER hari ini.

Beliau juga berharap kerjasama tersebut dapat menyediakan lebih banyak produk keperluan asas selain barangan basah.

“Petang ini juga saya akan berbincang dengan pembekal bagi membolehkan roti dijual pada harga lebih rendah dari pasaran.

“Kita bukan mahu jadi juara. Program ini bersifat intervensi iaitu sementara. Mungkin maksimum sehingga tiga bulan atau menjelang sambutan Aidilfiti,” katanya.

image is not available
Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Kuang di Dataran Setia, Kampung Setia, Kuang pada 30 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Amirudin berkata program melibatkan anggaran peruntukan sehingga RM15 juta itu mungkin diadakan lebih dari sembilan daerah sehari.

“Fama dan KoHijrah memiliki kemudahan lain seperti tapak niaga dan lori. Kalau ada keperluan kita tambah memandangkan ramai penduduk mahu program diadakan lebih kerap,” katanya.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor yang menguruskan jualan murah berkenaan menawarkan barangan seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual pada harga murah ialah ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).