
SHAH ALAM, 1 OKT: Subsidi tambang pengangkutan awam RM30 sebulan menerusi aplikasi NINE kini diperluaskan kepada perkhidmatan KTM Komuter.
EXCO Mobiliti, Ng Sze Han berkata kemudahan terbaharu itu membolehkan penerima menggunakan subsidi berkenaan untuk membeli tiket KTM Komuter, selain Rapid On Demand dan Kumpool.
Menurutnya, kemudahan itu meliputi perjalanan KTM Komuter Lembah Klang, KTM Komuter Utara dan Shuttle Selatan.
“Penduduk Selangor yang layak boleh menikmati subsidi RM30 sebulan sehingga Disember 2026 di bawah Program Subsidi Pengangkutan Awam Selangor, sekali gus membantu meringankan kos perjalanan harian,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Bagi menggunakan kemudahan itu, pengguna perlu memuat turun aplikasi Nine, memohon kelayakan subsidi dan memilih KTM Komuter sebagai perkhidmatan pengangkutan.
Selepas permohonan diluluskan, subsidi bulanan akan dikreditkan ke Nine eWallet sebelum digunakan untuk membeli tiket melalui aplikasi KTMB Mobile atau KITS Style dengan memilih Nine sebagai kaedah pembayaran.
Program itu menawarkan subsidi tambang RM30 sebulan selama enam bulan kepada 50,000 penerima yang layak.
Inisiatif itu diperkenalkan menerusi Pakej Daya Tahan Selangor yang dilancarkan pada 15 Jun lalu bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, termasuk kos perjalanan harian.
Dengan peluasan kepada KTM Komuter, penerima subsidi kini mempunyai lebih banyak pilihan pengangkutan mengikut keperluan perjalanan masing-masing.



![[VIDEO] ‘Pukul 7.30 Tol Duta, 9 malam baru R&R Sungai Buloh’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-25-at-21.57.15-1024x768.jpeg)

