
Kota Kinabalu: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) mengulangi gesaannya kepada Kerajaan supaya melaksanakan subsidi bahan api bersasar, termasuk mengemukakan cadangan berkaitan perkara itu.
Pada Mac tahun ini, persatuan itu menggesa Kerajaan mempertimbangkan pengenalan subsidi bahan api sementara khusus untuk pengusaha pengangkutan pelancongan susulan kenaikan harga bahan api baru-baru ini, yang dijangka memberi kesan ketara kepada sektor pelancongan.
“Pengusaha pengangkutan pelancongan di seluruh Malaysia merupakan komponen penting dalam rantaian nilai pelancongan kerana mereka memainkan peranan penting dalam menyokong pelancongan masuk dan domestik.
“Memastikan kelestarian perkhidmatan pengangkutan pelancongan amat kritikal ketika Malaysia bersiap sedia menyambut lebih ramai pelawat antarabangsa dan domestik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Sokongan tepat pada masanya kepada sektor ini akan membantu mengekalkan kualiti perkhidmatan, memastikan kestabilan industri serta meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.
“Bagaimanapun, sehingga kini kami masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi terhadap permohonan kami,” kata Presidennya Nigel Wong pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan daripada pengusaha pelancongan di Sabah mengenai sama ada bantuan daripada kerajaan akan disalurkan.
Menurut Wong, Matta menerima laporan daripada ahlinya khususnya di Sabah dan Sarawak mengenai kesukaran mendapatkan bekalan bahan api mencukupi untuk mengendalikan bot serta peralatan seperti set penjana.
“Kuota, yang dilaporkan serendah hanya 100 liter sehari bagi setiap syarikat, telah diperkenalkan sekali gus menyukarkan pengusaha pelancongan mendapatkan bahan api mencukupi untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan.
“Selain itu, banyak pam minyak yang diberi kebenaran menjual petrol dengan cara ini telah mengehadkan pembelian bahan api oleh pengusaha berlesen kepada jumlah yang lebih rendah berikutan tanggapan negatif yang ‘dicetuskan’ oleh individu persendirian yang cuba menyorok bahan api dalam beberapa minggu kebelakangan ini,” jelasnya.
Presiden itu memberi amaran bahawa sekatan terbabit jika dibiarkan berterusan tanpa semakan sewajarnya, berpotensi memberi kesan negatif terhadap peluang pekerjaan dalam industri pelancongan khususnya dalam beberapa bulan akan datang apabila bekalan bahan api dijangka terjejas teruk.
Wong menggesa kerajaan menangani isu ini secara tegas bagi memastikan proses yang betul diwujudkan serta disampaikan dengan jelas supaya pemilik perniagaan dapat terus beroperasi dengan berkesan.
Beliau memberi jaminan bahawa Matta kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak berkepentingan industri bagi memastikan daya tahan serta pertumbuhan berterusan industri pelancongan Malaysia.






