
KUALA LUMPUR - Sudah ada pemimpin-pemimpin bahagian, sayap parti dan ahli Bersatu yang menawarkan diri mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh penyokong Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat dan meletak jawatan bagi jawatan Ketua Bahagian termasuk individu yang pernah bertanding jawatan itu sebelum ini.
Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, kekosongan kepimpinan jawatan Ketua Bahagian juga membuka ruang kepada bekas pemimpin parti lain, termasuk bekas pemimpin Umno untuk menyertai dan membangunkan bahagian, contohnya di Melaka.
Bagaimanapun, Tun Faisal menjelaskan pemecatan atau peletakan jawatan Ketua Bahagian tidak akan menyebabkan Bersatu bahagian terbabit terbubar kerana Perlembagaan parti menetapkan jawatan berkenaan boleh dipangku sama ada oleh Timbalan Ketua atau Ahli Jawatankuasa (AJK).
Ini kerana, katanya, berdasarkan ringkasan AI, Perlembagaan Bersatu jelas menetapkan mereka boleh memangku jawatan Ketua Bahagian sehingga pemilihan baharu diadakan.
“ Jika seluruh AJK kosong, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) boleh adakan persidangan khas untuk menubuhkan semula jawatankuasa. Bahagian tidak terbubar secara automatik.
“Ada mantan Ketua Bahagian yang terlibat dalam sidang media mengumumkan pemububaran bahagian sedangkan mantan Ketua Bahagian yang dipecat tidak mempunyai kedudukan (locus standi) untuk bercakap bagi pihak bahagian.
“Terdapat dakwaan sesetengah Ketua Bahagian menandatangani SD (Akuan Bersumpah) kerana dibayar RM3,000, dijanjikan jawatan dan atas kepentingan peribadi tanpa persetujuan AJK Bahagian, menyebabkan bantahan dalaman terhadap mereka,’’ katanya dalam Facebook hari ini.
Semalam, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menjadi pemimpin kanan terbaru Bersatu yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah.
Peletakan jawatan beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah dan Ketua Srikandi Bersatu dibuat bersama 39 lagi AJK bahagian berkenaan.
Sebelum ini, beberapa bahagian Bersatu dilaporkan dibubarkan iaitu Larut, Lembah Pantai, Kepala Batas dan Tanjong.
Bagaimanapun Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan tuduhan tersebut tidak berasas malah bertentangan dengan perlembagaan parti.
Mengulas lanjut, Tun Faisal memberitahu, MPT boleh mengarahkan Badan Pimpinan Negeri (BPN) untuk mengambil alih sementara kepimpinan bahagian terbabit dan jika berlaku kekosongan besar, BPN Negeri boleh mentadbir sementara sebelum Persidangan Khas dipanggil bagi melantik kepimpinan baharu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai tindakan disiplin yang dikenakan ke atas beberapa pemimpin dan ahli parti itu, beliau memberitahu ia merupakan sesuatu yang wajar dalam usaha mengukuhkan parti.
“Tindakan disiplin wajar bagi mengukuhkan parti dan membuang trojan horse, api dalam sekam, musang berbulu ayam dari parti. Perkembangan ini dilihat sebagai proses pembersihan dalaman untuk bergerak ke hadapan dan memperkukuhkan kembali parti,’’ katanya. - 20 Februari, 2026
The post Sudah ada pemimpin, sayap parti, ahli Bersatu tawar diri isi kekosongan Ketua Bahagian: Tun Faisal appeared first on Scoop.
